Sekretariat Himpunan Gerakan Islam tangkis isu api-apikan rakyat

Seketariat Himpunan Gerakan Islam Malaysia ditubuhkan hasil gabungan empat NGO.
Seketariat Himpunan Gerakan Islam Malaysia ditubuhkan hasil gabungan empat NGO.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu gerakan baharu diberi nama Sekretariat Himpunan Gerakan Islam Malaysia ditubuhkan hasil gabungan empat buah badan bukan kerajaan (NGO) bagi menangkis suara-suara yang cenderung mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa dan agama.

Empat NGO yang bergabung di bawah sekretariat berkenaan adalah Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan).

Sekretariat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, gerakan berkenaan antara lainnya mahu membangun peradaban ummah berteraskan nilai Islam wasatiy yang bercirikan prinsip keadilan dan kemajuan serta kemanusiaan sejagat.

“Ini termasuklah membina warganegara yang bersatu padu berteraskan rukun negara dan perlembagaan demi menjamin keharmonian dan kerukunan hidup rakyat Malaysia yang majmuk dan madani.

“Menggembleng seluruh potensi dan kekuatan umat Islam ke arah membangun peradaban ummah yang teguh dan kukuh dalam segenap aspek kehidupan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kata kenyataan itu lagi, sekretariat itu mengajak individu dan pertubuhan yang berkongsi nilai-nilai serupa serta semua lapisan masyarakat untuk mendokong Islam wasatiy, menolak ekstremisme dan berganding bahu memperjuangkan keharmonian serta kemajuan negara.

“Kami yakin bahawa hanya dengan wasatiy, kebersamaan dan keikhlasan, kita dapat mencapai Malaysia cemerlang, sejahtera dan berdaya saing,” kata kenyataan itu.