Jude Bellingham jadi taruhan Real Madrid

Bellingham - Foto Agensi
Bellingham - Foto Agensi
A
A
A

REAL Madrid boleh menarik nafas lega apabila sudah mempunyai pengganti kepada penyerang sensasi, Karim Benzema dan pemain Sepanyol, Marco Asensio.

Pemain meningkat naik berusia 20 tahun, Jude Bellingham menjadi taruhan Real Madrid untuk memberi saingan sengit kepada Barcelona dalam usaha merampas gelaran La Liga.

Bellingham berhijrah dari Borussia Dortmund dengan nilai kontrak 103 juta euro (RM515 juta) dan 30 juta euro (RM150 juta) lagi tambahan lain sekali gus menjadi pembelian kedua termahal dalam sejarah kelab.

Pemain tengah England itu mencetuskan impak segera kepada pasukan apabila rakan sepasukan gembira dengan prestasinya ketika jelajah pra musim.

Pemergian Benzema dan Asensio menyebabkan Real kekurangan peledak dengan hanya Joselu ditandatangani dari Espanyol.

Pengendali Real, Carlo Ancelotti menaruh harapan kepada Bellingham yang dianggap versatil.

“Seorang pemain yang fantastik. Kemunculannya dalam kotak penalti sangat penting buat pasukan.

“Dia sangat penting kepada kami kerana dia mempunyai intensiti dalam permainannya.

“Dia bijak mencari ruang kosong sekali gus menambah satu lagi kualiti dalam skuad fantastik ini,” katanya.

Real Madrid akan memulakan misi memburu gelaran Sepanyol ke-36 apabila berkunjung ke Athletic Bilbao pada Sabtu ini.