Chong Wei hiba kehilangan rakan rapat, Teik Chai

Chong Wei, Teik Chai
Chong Wei, Teik Chai
A
A
A

BEKAS pemain beregu negara, Gan Teik Chai meninggal dunia pada Sabtu ketika usia 40 tahun akibat serangan jantung.

Pemergian bekas juara Terbuka Australia itu dikongsi bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerusi laman sosialnya.

“Dengan rasa berat hati dan pilu, saya berkongsi berita pemergian teman rapat, Gan Teik Chai yang saya panggil Ah Gan.

“Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kesedihan mendalam yang saya rasai sekarang.

“Saya berulang kali memutarkan mesej suara yang ditinggalkan yang mana dia bersetuju menyertai saya di gelanggang minggu depan. Kini perlawanan dengan Ah Gan tidak akan menjadi kenyataan,” catat Chong Wei di Facebooknya.

Teik Chai meninggalkan isteri, Esther Ng dan dua anak lelaki.

Chong Wei turut berkongsi kenangan dengan Teik Chai yang bukan sekadar rakan sebaliknya ibarat keluarga sendiri.

“Ah Gan bukan sekadar rakan, dia umpama keluarga saya. Saya gembira kerana kami mempunyai terlalu banyak kenangan bersama sejak kami bertemu pada usia 12 tahun.

“Kami berkongsi kelas, ke gelanggang latihan dan kejohanan kami bersama, setiap masa saya bersama Teik Chai penuh dengan hilai tawa, gembira dan saling menyayangi,” katanya.

Sepanjang bergelar pemain, Teik Chai berasal dari Kedah pernah memenangi pingat gangsa Sukan Sea 2007 bersama Lim Woon Fui dan memenangi pingat gangsa berpasukan lelaki di Kejohanan Remaja Asia 2000.

Mendiang juga pernah muncul juara Kejohanan Antarabangsa Perancis 2004 bersama Kien Keat, juara Grand Prix Terbuka Australia 2009 bersama Bin Shen dan menjuarai Kejohanan Antarabangsa Mauritius, Argentina dan Brazil bersama Soon Hock.