Nafi tiru manifesto pilihan raya PH

A
A
A

Muhyiddin (tengah) ketika bersama Azmin (kanan) dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pada sesi soal jawab Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor pada Jumaat.
Muhyiddin (tengah) ketika bersama Azmin (kanan) dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pada sesi soal jawab Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor pada Jumaat.



SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) tidak bertindak 'copy paste' (tiru) dalam membuat tawaran pilihan rayanya di Selangor.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya berkata, PN mempunyai banyak pengalaman termasuk menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan sebelum ini.

"Saya tidak baca pun apa yang ditawarkan sebelah sana (Pakatan Harapan Selangor) (jadi) nak 'copy paste' apa.

"Kita cukup pengalaman, dan kita tak payah tengok apa orang lain buat. Kita sudah ada pengalaman di (peringkat) Persekutuan tidak diajar pun kita boleh buat, pengalaman lepas yang kita gunakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini, yang mendakwa tidak menolak kemungkinan manifesto PH akan di 'copy paste' oleh PN.

Terdahulu, PN Selangor menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion sempena PRN di Selangor pada Jumaat.

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN

Menurut Muhyiddin, dengan bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit, pakej berkenaan merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

Muhyiddin menambah, tawaran yang diberikan PN itu realistik dan gabungan itu komited untuk membawa perubahan di negeri Selangor sekiranya diberi mandat pada 12 Ogos depan.

Selangor mampu jadi 'Super Smart State'

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) tekad menjadikan Selangor sebagai 'Super Smart State' sekiranya PN mendapat mandat rakyat dan berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara inisiatif akan dilaksanakan adalah menarik pelabur asing yang berkemahiran dan berteknologi tinggi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada anak muda Selangor.

Beliau berpandangan kerajaan negeri Selangor pada hari ini gagal untuk menarik pelabur berteknologi tinggi, malah pelaburan yang ada didakwanya masih berintensifkan tenaga pekerja asing.

AZMIN
AZMIN

"Kalau ini berterusan, tidak mungkin anak-anak muda di Selangor ini dapat mencipta atau diberikan peluang untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti dan kemahiran tinggi.

"Maka antara cadangan yang kita tawarkan adalah tarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi seterusnya cipta 100,000 pekerjaan yang berkualiti. Tawaran diberikan ini memang boleh dilakukan kerana kita ada pengalaman," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog selepas Majlis Pelancaran Tawaran PN Negeri Selangor disempurnakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini.

Bekas menteri itu menambah Selangor pernah mencatat prestasi baik tahun lalu ketika beliau masih di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya, ketika itu beliau pernah membawa Amazon Web Services (AWS) masuk ke Selangor walaupun Selangor bukan ditadbir PN, namun beliau tetap membawa pelaburan bernilai RM25 bilion ke negeri berkenaan.

ADVERTORIAL