Aminuddin akui ada pergeseran dengan Mohamad Rafie

Aminuddin ketika menyampaikan ceramah pada program Bicara serangkai Perpaduan di Ampangan
Aminuddin ketika menyampaikan ceramah pada program Bicara serangkai Perpaduan di Ampangan
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Pakatan Harapan(PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun secara terbuka mengakui berlaku pergeseran antara beliau dengan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek.

Menurutnya, disebabkan itu beliau jarang turun ke kawasan berkenaan sebelum ini kerana menghormati Mohamad Rafie yang dianggap sebagai sahabatnya.

Malah katanya, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan itu juga tidak menghormatinya selaku Menteri Besar dan pimpinan PH di Negeri Sembilan.

"Semua orang perasan dalam tempoh lima tahun, saya jarang datang Ampangan. Kenapa? Saya nak hormati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya.

"Saya tak mahu tunjuk pergeseran itu. Tapi memang ada. Sebab dia tak hormat saya. Hari ini, dia dah masuk tempat lain, saya cakap terus terang kepada tuan-tuan," katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Bicara Serangkai Perpaduan di Ampangan pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menafikan banyak pembangunan dan perubahan dibawa Mohamad Rafie di Ampangan.

Ujarnya, itu sememangnya sudah menjadi tugas bekas Timbalan Ketua Cabang Seremban terbabit sebagai ADUN di situ tetapi sekiranya berseorangan beliau sukar untuk melakukannya.

"Tapi bila tak bersama, bagaimana nak bangunkan Ampangan selepas ini dan teruskan kesinambungan pembangunannya pada masa hadapan?

"Kita tidak akan mampu buat semuanya seorang diri," ujarnya

Sebelum ini media melaporkan Mohamad Rafie yang bertanding sebagai calon Bebas di Ampangan mendakwa namanya digugurkan atas arahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Aminuddin.

Malah beliau juga mendakwa tidak dicalonkan semula pada pilihan raya Negeri Sembilan berikutan ada individu tergugat dengan kehadirannya dalam kerajaan negeri.