Tiga pelatih Puspen Serendah larikan diri

No Image Caption
A
A
A

HULU SELANGOR - Tiga pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Serendah di sini melarikan diri dari pusat itu dipercayai selepas selesai solat Subuh pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 6.45 pagi daripada penyelia bertugas di pusat tersebut.

"Dua pelatih dari asrama Al-azim dan seorang pelatih dari asrama Al-hamzah didapati telah tiada dalam baris dan meninggalkan pusat pemulihan tersebut tanpa kebenaran ketua institusi.

"Ketiga-tiga pelatih itu dipercayai melarikan diri selepas solat Subuh dengan memanjat tiang pagar yang disandarkan dengan pagar berkawad," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan mendapati ketiga pelatih ini berumur lingkungan 44 hingga 53 tahun.

"Kesemua mereka ini sedang menjalani pemulihan dadah di pusat ini dan polis telah menyenarai hitam mereka sehingga tangkapan dijalankan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan berkaitan kejadian ini," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta segera menghubungi polis atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641132 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Zulaikha Mohamed di talian 03-60641222," katanya.