PN menang, Selangor jadi 'Super Smart State' - Azmin

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) tekad menjadikan Selangor sebagai 'Super Smart State' sekiranya PN mendapat mandat rakyat dan berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara inisiatif akan dilaksanakan adalah menarik pelabur asing yang berkemahiran dan berteknologi tinggi sekali gus menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada anak muda Selangor.

Beliau berpandangan kerajaan Selangor pada hari ini gagal untuk menarik pelabur berteknologi tinggi, malah pelaburan yang ada didakwanya masih berintensifkan tenaga pekerja asing.

"Kalau ini berterusan, tidak mungkin anak-anak muda di Selangor ini dapat mencipta atau diberikan peluang untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti dan kemahiran tinggi.

"Maka antara cadangan yang kita tawarkan adalah tarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi seterusnya cipta 100,000 pekerjaan yang berkualiti. Tawaran diberikan ini memang boleh dilakukan kerana kita ada pengalaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog selepas Majlis Pelancaran Tawaran PN Negeri Selangor yang disempurnakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Double Tree Shah Alam pada malam Jumaat.

Bekas menteri itu menambah Selangor pernah mencatat prestasi baik tahun lalu ketika beliau masih di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya, ketika itu beliau pernah membawa Amazon Web Services (AWS) masuk ke Selangor walaupun Selangor bukan ditadbir PN, namun beliau tetap membawa pelaburan bernilai RM25 bilion ke negeri berkenaan.

"Kalau kita boleh buat ketika itu, Insya-ALLAH ketika rakyat memberikan mandat pada 12 Ogos ini dengan pengalaman saya dan teman-teman, saya yakin kita boleh angkat negeri Selangor ke tahap lebih tinggi," ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

ARTIKEL BERKAITAN: PRN: PN tawar bantuan bulanan RM400 ringan beban rakyat Selangor

PN tawar tambang bas sekolah percuma untuk anak Selangor

PN Selangor tawar 112 inisiatif jika menang PRN

PRN: 'Saya dapat rasakan angin perubahan di Selangor' - Muhyiddin