Hoe Yan empat terbaik di kolam renang Chengdu

Hoe Yan tetap berpuas hati dengan pencapaiannya di Universiade 2023, Chengdu kali ini.
Hoe Yan tetap berpuas hati dengan pencapaiannya di Universiade 2023, Chengdu kali ini.
A
A
A

PUJIAN wajar diberikan kepada perenang negara, Khiew Hoe Yan biarpun terlepas menaiki podium dalam acara final 200 meter (m) gaya bebas Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 di Chengdu, China pada malam Khamis.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja Mei lalu itu terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan catatan masa 1:48.28 saat (s) dalam saingan di Pusat Akuatik Dong’an Lake Sports Park.

Dalam acara itu pingat emas dimenangi K A Sieradki dari Poland dengan masa 1:47.60s, manakala perak menjadi milik Tomas Navikonis dari Lituania menerusi catatan 1:47.73s dan gangsa diraih Giovanni Caserta dari Itali (1:48.01s).

Biarpun gagal menyumbang pingat, catatan masa oleh Hoe Yan di Universiade memberikan tanda positif menjelang penyertaannya pada Sukan Asia Hangzhou 2022 September depan.

“Tetap berpuas hati. Ini catatan masa kedua terpantas saya musim ini dan adalah peluang terbaik saya bersaing di kejohanan tahap dunia seperti ini.

“Sesiapa pun ada peluang untuk naik podium, saya dah cuba sehabis daya. Ia cuma 0.1 saat daripada catatan terbaik saya waktu di Fukuoka,” ujarnya.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat di Universiade adalah menerusi Jeffrey Ong pada Universiade Sheffield 1991 iaitu pingat perak menerusi acara 1500m gaya bebas.