Piala Malaysia: Perak kejutkan Kedah 3-1

Pemain Perak FC Seo Seonung (tengah) mengawal bola ketika bertemu pasukan Kedah Darul Aman dalam saingan Piala Malaysia 2023 di Stadium Perak malam ini.- Foto Bernama.
Pemain Perak FC Seo Seonung (tengah) mengawal bola ketika bertemu pasukan Kedah Darul Aman dalam saingan Piala Malaysia 2023 di Stadium Perak malam ini.- Foto Bernama.
A
A
A

PERAK FC berjaya menjinakkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila mencipta kemenangan 3-1 dalam pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Perak di Ipoh pada Khamis.

Lebih manis lagi apabila kemenangan tersebut disaksikan lebih 4,000 penyokong yang hadir menonton perlawanan tersebut.

Kedah membuka jaringan awal menerusi tandukan Kapten Pasukan, Manuel Ott pada minit pertama perlawanan melalui sepakan penjuru Fayadh Zulkifli.

Tersentak dengan jaringan itu, Perak FC memperkemaskan pertahanan mereka bagi mengekang asakan pasukan pelawat.

Memasuki minit ke-10 Perak FC hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma kapten pasukan, Luciano Guaycochea namun berjaya ditampan keluar penjaga gol KDA FC, Kalamullah Mat Rowi.

Minit ke-15, Seo Seonung pula memperoleh peluang menerusi rembatan terus ke arah pintu gol namun diselamatkan sekali lagi Kalamullah.

Pasukan tuan rumah terus menggandakan asakan memberikan tekanan kepada pertahan KDA FC untuk menyamakan kedudukan

Guaycochea sekali lagi menguji gawang KDA FC menerusi rembatan di luar kotak penalti namun percubaan tersebut sekadar menggegarkan palang gol.

Berakhir babak pertama perlawanan menyaksikan KDA FC mendahului Perak FC dengan jaringan 0-1.

Bersambung separuh masa kedua, KDA FC membuat pertukaran pemain dengan memasukkan pemain baharu mereka J Partiban dan Fadzrul Danel

Minit ke-47, Perak FC dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena pemain KDA FC di dalam kotak penalti.

Peluang menyamakan kedudukan tidak disia-siakan Guaycochea yang menyempurnakan sepakan penalti tersebut sekaligus menjadikan kedudukan 1-1.

Pada minit ke-55, penyerang baharu Perak FC, Luka Milunovic berjaya menyumbat gol kedua tuan rumah selepas menyempurnakan hantaran Firdaus Sayadi seterusnya mendahului perlawanan dengan 2-1.

KDA FC yang tertekan selepas ketinggalan mengatur gerak dengan beberapa percubaan namun kecemerlangan penjaga gol Perak FC, T Shaheeswaran mematahkan peluang lawan.

Pasukan pelawat terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila pertahanan mereka, Rodney Akwensive diperintah keluar padang oleh pengadil, Muhammad Usaid Jamal yang melayangkan kad merah selepas mengasari Seonung.

Ketika perlawanan semakin rancak Perak FC membuat dua pertukaran pemain dengan mengeluarkan Wan Zack Haikal, Seonung dan Firdaus dengan diganti Azalinullah Alias, Farris Izdiham dan Hakimi Mat Isa.

Biarpun kekurangan pemain, anak buah Nafuzi Zain berusaha mengatur serangan untuk menyamakan kedudukan namun keampuhan pertahanan tidak memberi ruang mudah.

Ketika perlawanan memasuki lima minit terakhir, Perak FC menambah derita KDA FC dengan tambahan gol ketiga menerusi pemain gantian, Hakimi yang berjaya memperdaya Kalamullah.

Tamat perlawanan menyaksikan tuan rumah berjaya mengatasi KDA FC dengan keputusan 3-1.