Platform pamer teknologi terkini sistem pendidikan

Ahmad Najib (belakang, lima dari kiri) bergambar bersama Zamri (belakang, lima dari kanan) ketika Majlis Pra Pelancaran Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
Ahmad Najib (belakang, lima dari kiri) bergambar bersama Zamri (belakang, lima dari kanan) ketika Majlis Pra Pelancaran Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan teknologi digital yang ditunjukkan oleh pempamer di Karnival Pendidikan Sinar Bestari dapat membuka mata pengunjung terutamanya para ibu bapa dan pelajar mengenai kemajuan dalam sistem pendidikan negara ini.

Pengarah Urusan Israk Solution Sdn Bhd, Ahmad Najib Habeb berkata, biasanya para pelajar hanya memperoleh ilmu melalui sesi pembelajaran dan pengajaran yang berlaku di sekolah, namun dengan karnival itu mereka dapat mempelajari perkara baharu.

"Melalui karnival ini saya percaya ibu bapa dan pelajar akan nampak apa yang terkini dalam sistem pendidikan kita terutamanya dalam bidang teknologi kerana semuanya akan dipamerkan pada hari tersebut.

"Dengan pengalaman dan pendedahan yang diperoleh ketika mengunjungi karnival tersebut, pelajar-pelajar boleh fikirkan pembaharuan untuk sekolah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Pra Pelancaran Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Karnival tersebut bakal berlangsung selama tiga hari ini dengan menampilkan aktiviti menarik kepada pengunjung bermula 8 hingga 10 September depan.

Sementara itu, Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat KDEB Waste Management (KDEBWM), Nurashidah Shaharudin berpendapat, penyertaan KDEBWM dalam pameran di karnival tersebut adalah bagi memberi pendidikan dan pendedahan awal kepada pelajar mengenai kitar semula.

Ujarnya, mereka perlu tahu peranan kitar semula kepada alam sekitar dan masyarakat.

"Ini merupakan peluang terbaik kami untuk menjelaskan mengenai perkara tersebut kepada masyarakat. Contohnya, apa perbezaan tong sampah biru, kuning dan coklat selain berapa lama plastik sampah boleh dilupuskan.

"Jadi benda-benda sebegini akan dikongsikan pada karnival nanti. Kami rancang untuk adakan kuiz mengenai kepentingan alam sekitar," jelasnya.

Nurashidah
Nurashidah

Nurashidah turut berharap program sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang demi memajukan sistem pendidikan negara.

"Karnival ini bagus kerana dapat mengembangkan pendidikan negara. Sekarang ini zaman moden jadi semestinya pendidikan ke arah moden juga," katanya.