Mira Filzah pilih lelaki yang matang

Mira Filzah
A
A

JIKA diselak gosip cinta membabitkan aktres berusia 26 tahun ini, pasti nama dua aktor Remy Ishak dan Zizan Razak yang menjadi sebutan.

Namun bagi Mira Filzah, dia sejujurnya sudah merasa bosan apabila acapkali dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan kedua-dua pelakon itu, walhal pada dasarnya mereka tidak lebih daripada rakan seindustri.

"Bagi saya diganding-gandingkan dengan pasangan dalam drama atau telefilem adalah biasa, melainkan salah seorang daripada itu sudah berkahwin realitinya.

"Sejujurnya saya tak kisah peminat nak ganding-gandingkan kami kerana berlakon bersama, tapi tidaklah dikaitkan sehingga ke luar skop kerja.

"Baik Remy mahupun Zizan, saya hanya kawan sahaja dan mereka tidak lebih daripada rakan sekerja," jelasnya.

Ditanya mengenai ciri lelaki idamanya, Mira mengakui lebih menyukai lelaki yang berusia dan melihat golongan itu lebih matang.

"Mungkin kebetulan saya bekerja dan berkawan dengan kedua-dua yang lebih berusia daripada saya.

"Tapi buat masa ini saya masih lagi sendiri dan belum nampak lagi ke arah jinjang perkahwinan itu.

"Tidak dinafikan saya suka lelaki yang matang kerana mengikut masa yang berlalu, saya sebolehnya mahukan sebuah perhubungan yang stabil, mempunyai pasangan yang memahami, matang dan paling penting ada didikan agama yang secukupnya.

"Kalau boleh biar dia lebih tua daripada saya supaya dia dapat membimbing saya dan bukan saya yang membimbingnya," ujar Mira.