Pertahanan rapuh, Klopp beri amaran awal

Klopp - Foto Agensi
Klopp - Foto Agensi
A
A
A

JURULATIH Liverpool, Jurgen Klopp menuntut benteng pertahanan untuk segera membaiki kelemahan mereka menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu depan.

Gawang The Reds bocor empat kali setelah tewas 3-4 kepada Bayern Munich dalam aksi persahabatan di Singapura pada malam Rabu.

Klopp memberitahu, jika kerapuhan benteng tidak diatasi mereka berkemungkinan berdepan masalah besar untuk mengekang asakan Chelsea dalam aksi pertama EPL pada 13 Ogos.

Kelonggaran di benteng dikesan akibat kesilapan individu melibatkan perebutan bola tinggi susulan situasi bola mati atau taktikal pasukan lawan.

Walaupun jelajah pramusim bukan petunjuk prestasi sebenar, empat kali dibolosi lawan sudah pasti menjadi perhatian Klopp.

Pemain sayap Bayern, Serge Gnabry dua kali memanfaatkan kelemahan benteng The Reds di sebelah kanan apabila meledak satu jaringan dan mengumpan kepada Leroy Sane untuk satu lagi gol.

Ia menjurus kepada prestasi Trent Alexander-Arnold yang dilihat lebih selesa bersama bola ketika menyerang, tetapi memberi kesan ketika bertahan.

Bek tengah, Joel Matip turut bergelut dengan prestasi pada perlawanan malam tadi.

“Trent dan Joel sepatutnya bertindak lebih baik, tetapi kami terpaksa melepaskan gol pertama kepada lawan,” ujar Klopp.

Biarpun Klopp dilihat terkesan dengan kekalahan itu, namun dia turut melihat beberapa perkara positif dan jelas latihan jelajah pramusim bukan masanya untuk panik.

“Ia berlaku sekitar setengah jam dalam perlawanan dan kami sudah berasakan tekanannya. Situasi sama berlaku pada babak kedua membabitkan Joe Gomez dan Ibou Konate.

“Ia bukan berkaitan kelajuan, tetapi mengenai waspada, mengawasi situasi dan dalam perlawanan bola sepak, tiada waktu rehat,” ujar Klopp