Dua beradik tidak sedarkan diri selepas jatuh kolam

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SANDAKAN - Dua beradik tidak sedarkan diri selepas terjatuh ke dalam kolam ikan di Kampung Sungai Kayu Batu 7, di sini pada Rabu.

Mangsa dikenali sebagai Natasya, 19, dan adiknya, Mohd Awira, 11, sempat diselamatkan oleh orang awam sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.40 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer.

"Kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam berkenaan namun sempat diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri dan pasukan bomba segera menghantar mereka ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Hamsa berkata, operasi kemudian ditamatkan pada jam 12 tengah hari selepas kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak hospital.