‘Muda bawa suara rakyat ke pemimpin tertinggi’ - Cheda Razak

Saiyidah Izzati Nur semasa program Sinar Live bertajuk tidak gentar lawan calon 'heavyweight' yang dihoskan oleh Haizir Othman dan turut menampilkan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron, pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjadi pro kepada suara rakyat untuk dibawa ke pihak pemimpin tertinggi walaupun segelintir pihak sering mendakwa parti kecil sukar membawa perubahan.

Calon Muda bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen atau lebih dikenali sebagai Cheda Razak berkata, parti tersebut membawakan politik khidmat yang sangat dekat kepada rakyat.

“Mengikut rekod politik khidmat yang dibawakan oleh Muda dari tahun pertama sehingga kini menunjukkan tanpa mengira ada jawatan atau tidak masih membawakan isu-isu rakyat sehingga ke peringkat pemimpin tertinggi.

“Parti Muda masih turun padang membantu masyarakat kerana kami menjadikan rakyat sebagai misi nombor satu,” katanya dalam Sinar Live bertajuk tidak gentar lawan calon 'heavyweight' yang dihoskan oleh Haizir Othman dan turut menampilkan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron, pada Selasa.

Program Sinar Live bersama Calon PH DUN Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron (kiri) dan Calon Muda DUN Batu Tiga, Cheda Razak, membicarakan tajuk tidak gentar lawan calon ‘heavyweight’ yang dihoskan oleh Haizir Othman (kanan) secara langsung di Studio Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Dalam pada itu, menurut beliau, Muda berhasrat menjadi semak dan imbang kepada pentadbiran negara walaupun terdapat dakwaan parti itu merupakan kuasa ketiga kepada blok kerajaan mahupun pembangkang.

Ujarnya, kuasa ketiga tersebut bukan memecahkan perpaduan ataupun undi, tetapi ia merupakan kuasa demokrasi yang diberikan khas kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang mampu membawakan suara mereka daripada peringkat akar umbi.

“Bukan niat Muda ingin menjatuhkan kerajaan atau menuduh wakil rakyat gagal menjalankan tugas mereka, tetapi macam saya katakan tadi semak dan imbang penting untuk kita bawakan suara rakyat sama ada di DUN serta Parlimen.

“Jika diberikan mandat saya sentiasa membawa apa sahaja isu daripada peringkat akar umbi agar masalah rakyat dapat dinyatakan kepada pihak pemimpin tertinggi seperti yang tertulis dalam manifesto parti,” jelasnya.

Tambah beliau, rakyat lebih bijak menilai dan ingin mengetahui hak dalam berpolitik agar mampu memperjuangkan nasib mereka kelak.

Justeru, kuasa melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memahami masalah komuniti di kawasan tersebut penting bagi meningkatkan kecekapan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

“Rakyat lebih bijak menilai atau menyatakan hasil kerja yang diberikan oleh pemimpin yang dilantik itu dilaksanakan dengan betul, lebih bertanggungjawab dan itu adalah misi dan visi kami.

“Saya faham kekecewaan rakyat sebab percaya bahawa sebagai seorang pemimpin kita perlu menjadi suara kepada mereka,” katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!