PRN: PH-BN lancar Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023

Zairil diberi tanggungjawab membentangkan Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 di Butterworth Arena pada Selasa.
Zairil diberi tanggungjawab membentangkan Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 di Butterworth Arena pada Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang melancarkan Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 dengan 16 tema utama bagi pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Manifesto tersebut dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Perpaduan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari di Butterworth Arena pada malam Selasa.

Antara 16 tema utama tersebut adalah cakna kebajikan rakyat; sosioekonomi rakyat diperjuangkan; suntikan pekerjaan berkemahiran tinggi; syiar Islam dipertahankan, kelengkapan infrastruktur utama dan penyeimbangan pembangunan kawasan luar bandar.

Selain itu, percambahan modal insan; perumahan untuk semua; memperkasakan golongan wanita dan belia; keterjaminan rantaian makanan, pemantapan sektor pelancongan dan perkhidmatan serta inisiatif penyuraian trafik.

Manifesto itu turut menekankan tema dalam pemantapan sektor pelancongan dan perkhidmatan; inisiatif penyuraian trafik; keharmonian masyarakat majmuk; demokrasi dipertahankan, hak Pulau Pinang dan persekitaran berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Dalam pada itu, Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 turut menyentuh 15 perkara penting iaitu

1-Menambah baik program bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, OKU dan miskin tegar.

2-Menarik pelaburan berimpak tinqqi melalui pembangunan Projek Pulau Silikon yang direka bentuk mengikut prinsip prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan dijangka menjana RM7 bilion kepada ekonomi tempatan pada tempoh pembinaan.

3-Membangunkan 'Meditech City' di Batu Kawan dan Projek GBS By The Sea bernilai RM100 juta.

4-Bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji daripada golongan B40.

5-Memulakan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Kereta Kabel Bukit Bendera.

6-Menyediakan bantuan RM600 setahun kepada pemandu e-hailing dan insurans kemalangan diri kepada penunggang p-hailing (motosikal) serta meneruskan bantuan RM600 setahun kepada pemandu teksi dan bas sekolah.

7-Memperuntukkan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030.

8-Mencapai 220,000 unit perumahan mampu milk serta 22,000 unit sewa beli menjelang tahun 2030.

9-Memperkenalkan Skim Perumahan Sewa Khas kepada golongan belia atau bujang.

10-Memberi bayaran bantuan sara hidup kepada pesawah serta pekebun sayur dan bantuan pukat kepada golongan nelayan.

11-Program Mempelai Emas RM500 secara 'one-off' untuk setiap pasangan yang baharu mendirikan rumahtangga.

12-Membina Jalan Berkembar Tanjong Bungah-Teluk Bahang, Persimpangan Berlian Mencapah (Diverging Diamond Interchange) di Persimpangan Juru dan Jalan Pintasan Sungai Bakap serta menyiapkan pembinaan Jalan Pintasan Ayer Itam sehingga ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

13-Memperuntukkan RM10 juta untuk Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sehingga tahun 2028.

14-Memperuntukkan RM2 juta setahun sebagai geran kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

15-Sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).