Laluan LTdL 2023 tak berubah

Hannah dan Ahmad Shapawi ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Remaja Komanwel di Menara KBS di Putrajaya pada Selasa. - Foto: Bernama
Hannah dan Ahmad Shapawi ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Remaja Komanwel di Menara KBS di Putrajaya pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) selaku penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 memberi jaminan bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan menjejaskan laluan perlumbaan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, laluan bagi perlumbaan itu, dijadualkan bermula 23 hingga 30 September ini, akan kekal seperti diumumkan tidak kira apa jua keputusan PRN melibatkan enam negeri pada 12 Ogos ini.

Namun sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan seperti cuaca buruk dan banjir, beliau berkata, pihaknya akan membuat keputusan secara ad hoc kemudian.

"Setakat ini persiapan LTdL berjalan lancar dan kita sudah tubuhkan sekretariat. Kita juga telah meninjau laluan dengan kerjasama JKR (Jabatan Kerja Raya) dan pihak terlibat, tiada perubahan pada laluan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Remaja Komanwel di Menara KBS di Putrajaya pada Selasa.

LTdL 2023 melibatkan laluan di 11 negeri, akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4km, Peringkat 2 Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli ke Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam ke Meru Raya (140km).

Perlumbaan itu kemudian akan berlangsung dengan Peringkat 5 dari Slim River ke Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak ke Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar ke Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 157km.

Ahmad Shapawi turut mengesahkan pihaknya telah menyediakan hadiah wang kemenangan yang akan dibayar menerusi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), selain giat mencari penaja untuk memeriahkan lagi perlumbaan berstatus Pro Series itu selepas mendapat peruntukan kerajaan berjumlah RM8 juta.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang lega dengan keputusan UCI untuk menyenaraikan semula LTdL 2023 dalam kalendar antarabangsanya, berharap keputusan itu meyakinkan lebih banyak penaja untuk tampil memberi sokongan.

"Kita menggesa penaja yang mempunyai minat untuk segera hubungi MSN kerana kita tidak mempunyai banyak masa. Saya percaya MSN dengan kerjasama semua pihak kita boleh jayakan LTdL kali ini, demi Malaysia," katanya.

Minggu lepas, UCI mengeluarkan perlumbaan itu daripada kalendar badan dunia susulan isu hutang penganjur terdahulu. - Bernama