Kerajaan tidak cadang tarik balik subsidi yuran universiti awam

Mohamed Khaled berbincang sesuatu bersama Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan (kanan) ketika melawat reruai selepas mengadakan lawatan kerja di UUM, Sintok hari ini. - Foto Bernama
Mohamed Khaled berbincang sesuatu bersama Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan (kanan) ketika melawat reruai selepas mengadakan lawatan kerja di UUM, Sintok hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SINTOK - Kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menarik balik subsidi yuran yang dinikmati oleh pelajar tempatan di institusi pendidikan tinggi awam seluruh negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, ia selaras komitmen kerajaan untuk memastikan semua rakyat tidak tercicir dalam mendapatkan akses pendidikan tinggi.

"Kalau kita lihat pengajian ekonomi contohnya, kos sebenar pengajian untuk tempoh empat tahun RM70,000 ke RM80,000 tetapi di universiti awam hanya RM2,000 ke RM3,000.

"Kalau di UiTM (Universiti Teknologi MARA) setiap semester hanya RM200, dua semester iaitu setahun bersamaan RM400, tetapi kos sebenar adalah beribu-ribu ringgit, jadi kerajaan akan teruskan subsidi yang diberikan kepada pelajar tempatan yang menuntut dalam universiti awam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengadakan lawatan kerja ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata kerajaan juga menyediakan pinjaman Perb,adanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada penuntut yang mahu menyambung pengajian dengan jumlah pinjaman sehingga RM3.5 bilion setiap tahun.

Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 10,000 pelajar mendapat pengecualian bayaran yuran di universiti awam dengan nilai keseluruhan RM30 juta bagi kemasukan pada tahun ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menyeru universiti di negara ini merangka perancangan dan strategi masing-masing bagi menjayakan kerangka Ekonomi Madani khususnya dalam melahirkan modal insan serta melaksanakan penyelidikan.

Beliau berkata, setiap pelan kerangka ekonomi itu tidak mungkin boleh dicapai sekiranya universiti tidak berjaya melahirkan modal insan sebagaimana yang dikehendaki.

Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut melancarkan Program SULUNG peringkat UUM yang merupakan inisiatif diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan keluarga B40.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Naib Canselor UUM Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan. - Bernama