Air Selangor bantu 100 keluarga PPR Kerinchi

Sebahagian sukarelawan yang terlibat dalam program CSR yang diadakan di PPR Kerinchi, baru-baru ini.
Sebahagian sukarelawan yang terlibat dalam program CSR yang diadakan di PPR Kerinchi, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), Sesama Mara meneruskan agihan 'Box of Hope' dengan mengagihkan sumbangan bekalan makanan asas kepada 100 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, baru- baru ini.

Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, menerusi kerjasama istimewa antara Air Selangor, Yayasan Food Bank Malaysia dan Village Grocer, penerima sumbangan telah diberikan barangan makanan asas seperti beras, minyak, gula, barangan kering dan tepung.

“Sebanyak 3,875 kotak ‘Box of Hope’ telah diagihkan sehingga kini kepada keluarga B40 di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak inisiatif ini mula diperkenalkan pada 30 Jun 2020,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bagi program pengagihan Box of Hope di PPR Kerinchi Lembah Pantai, para sukarelawan tersebut terlibat secara aktif dalam mengisi, membungkus, dan mengedarkan Box of Hope kepada para penerima bantuan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.



“Air Selangor berharap bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membawa kegembiraan dan memperkukuhkan hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kaedah sumbangan Box of Hope dalam bentuk pembelian fizikal boleh dilakukan di lima lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTOWN Shopping Centre Cheras, 1 Mont Kiara, Central i-City Shah Alam dan Melawati Mall Ampang.

Air Selangor juga telah melancarkan inisiatif Box of Hope versi digital yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman sesawang www.airselangor.com/boxofhope/.

Selaras dengan semangat untuk terus membantu komuniti yang memerlukan, Air Selangor turut mengumumkan program sukarelawan terbaharu mereka, Hydro Heroes.

Program sukarelawan ini telah dilancarkan pada 28 Jun lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan pendaftaran seramai 150 sukarelawan dalam kalangan warga kerja AirSelangor.