Suspek dera isteri hingga mati ditahan menyorok di Johor

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SERDANG - Lelaki yang disyaki memukul isteri hingga mati akhirnya ditahan ketika menyembunyikan diri di Johor pada malam Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan ketika menyembunyikan diri di suatu kawasan di Johor bagi mengelak ditahan pihak polis.

Menurutnya, suspek dipercayai mendera mangsa dengan objek tumpul sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Sungai Long, Kajang, Selangor pada 21 Julai lalu.

"Hasil risikan dilakukan, polis mendapat maklumat bahawa suspek berada di Johor sebelum serbuan dibuat bagi menahan lelaki itu pada malam semalam.

“Susulan itu, polis juga menjalankan beberapa siri serbuan dalam tempoh tangkapan dibuat termasuk merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis perbarisan ulang tahun ketujuh polis bantuan Sime Darby Property Berhad (SDPB) di padang kawad Universiti Putra Malaysia (UPM), dekat sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan SDPB, Datuk Azmir Merican; Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikaladevi; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat UPM, Profesor Dr Hang Tuah Baharudin serta Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia, Mohd Razali Abd Aziz.

Hussein berkata, suspek akan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan mangsa yang mengalami lebam di seluruh anggota badan dan didapati tidak sedarkan diri telah dihantar oleh suspek ke hospital swasta, sebelum dipercayai bertindak melarikan diri.

Suspek diburu selepas disyaki memukul isterinya dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.