Representasi kes pecah amanah, rasuah Zahid belum diputuskan

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, representasi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi (YAB), belum diputuskan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketua Unit Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ini kerana isu dibangkitkan Ahmad Zahid dalam representasi itu, masih dalam proses siasatan.

“Tidak ada lagi keputusan dalam proses siasatan itu,” kata Mohd Dusuki.

Pada 10 April lalu, peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh berkata, pihaknya menghantar representasi baharu berhubung pertuduhan itu kepada AGC pada Februari lepas.

Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung dengan pihak pendakwaan menyoal balas saksi pembelaan keenam, bekas Pegawai Tugas-tugas Khas Ahmad Zahid, Datuk Mohd Kamal Abdullah, 66.