PRN: Calon bebas tiada jentera khas, kempen secara solo

Ibrahim (kiri) ketika penamaan calon Sabtu lalu. Gambar kecil: Ibrahim
Ibrahim (kiri) ketika penamaan calon Sabtu lalu. Gambar kecil: Ibrahim
A
A
A

KOTA BHARU - Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Ibrahim Sulong mengambil pendekatan berkempen secara solo sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan berikutan tiada jentera khas.

Ibrahim memberitahu, beliau tidak meletakkan sasaran tertentu dalam kempen sebaliknya mendekati semua golongan yang layak mengundi.

"Saya sudah mula meninjau kawasan berkaitan untuk bertemu mata setiap hari dengan pengundi dengan harapan dapat meningkatkan sokongan," katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, Ibrahim yang berusia 70 tahun memanfaatkan aplikasi WhatsApp untuk menguar-uarkan beliau sebagai calon dan menarik pengundi.

"Saya tidak mengadakan ceramah umum tetapi bergerak secara dalaman bersama beberapa pembantu dan penyokong," katanya.

Pesara penggawa itu juga mengakui mahu memenangi kira-kira 34,000 penduduk DUN Chempaka dalam pertandingan tiga penjuru itu.

Beliau juga mempunyai matlamat bahawa penyertaan dalam politik betujuan membantu kerajaan dalam membina generasi celik agama.

Ibrahim disaingi calon Barisan Nasional (BN), Nik Normi Nik Ayub dan calon Pas, Nik Asma'Bahrum Nik Abdullah.

Beliau turut mengakui berpengalaman dalam bidang politik selain kerjayanya yang turut membantu kerana selalu bertemu masyarakat dan memenuhi kehendak mereka.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!