Calon Sidam terkilan tak sempat maklum mendiang bapa

Bau Wong ditemui media semasa berkempen di Pasar Besar Sungai Petani pada Isnin.
Bau Wong ditemui media semasa berkempen di Pasar Besar Sungai Petani pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N29 Sidam, terkilan kerana tidak sempat memaklumkan pencalonannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kepada mendiang bapa yang meninggal dunia pada Sabtu.

Bau Wong Bau Ek, 56, berkata, mendiang bapanya, Bau Ek Endin Boon, 87, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira jam 8.30 malam hari yang sama.

Menurutnya, biarpun sedih dengan kehilangan insan tersayang namun kempen pilihan raya tetap diteruskan seperti biasa sebagai menunaikan tanggungjawab terhadap parti sekali gus memenangi kerusi berkenaan.

"Disebabkan jadual sangat padat, saya terkilan tak sempat beritahu bapa bahawa telah dicalonkan bagi kerusi ini, namun lega apabila bapa saudara sudah beritahu lebih awal.

"Sekiranya diberi mandat, saya dedikasikan kemenangan ini buat mendiang bapa," katanya ketika ditemui media semasa berkempen di Pasar Besar di sini pada Isnin.

Bau Wong berkempen di Pasar Besar Sungai Petani pada Isnin.
Bau Wong berkempen di Pasar Besar Sungai Petani pada Isnin.

Beliau bagaimanapun nekad memberikan khidmat terbaik termasuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat sekiranya diberi peluang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam pada PRN ini.

"Nak pertahankan kerusi ini lebih sukar, agak tekanan namun yakin dengan kekuatan jentera dan sokongan padu yang diterima, tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang,"katanya.

Bau Wong yang berpengalaman luas dalam bidang politik merupakan Mantan Pegawai Khas Ahli Parlimen Sungai Petani dan pernah berkhidmat kepada dua wakil rakyat sejak 2018.

Sebelum ini, beliau membantu Tan Sri Johari Abdul bermula 2018 sehingga 2022 sebagai pewagai khas dan meneruskan khidmat sama kepada Dr Mohammed Taufiq Johari selepas memenangi kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum menamatkan tugas pada 28 Julai 2023 bagi memberi laluan bertanding pada PRN.

Pada PRU14 lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam telah dimenangi Dr Robert Ling Kui Ee mewakili PKR ketika itu dengan majoriti 10,860 namun bertindak keluar parti seterusnya menyokong Perikatan Nasional (PN).

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!