Gelombang haba dijangka terus melanda Korea Selatan

Gelombang haba dijangka berterusan melanda Korea Selatan pada Isnin, dengan suhu diramal melebihi paras 35 darjah Celsius (C) di kebanyakan kawasan negara berkenaan. - Gambar hiasan
Gelombang haba dijangka berterusan melanda Korea Selatan pada Isnin, dengan suhu diramal melebihi paras 35 darjah Celsius (C) di kebanyakan kawasan negara berkenaan. - Gambar hiasan
A
A
A

SEOUL - Gelombang haba dijangka berterusan melanda Korea Selatan pada Isnin, dengan suhu diramal melebihi paras 35 darjah Celsius (C) di kebanyakan kawasan negara berkenaan.

Suhu harian tertinggi di kebanyakan kawasan diramal mencecah antara 29 C hingga 35 C, manakala suhu melebihi 35 C dijangka melanda hampir di seluruh negara, lapor Yonhap memetik Pentadbiran Kaji Cuaca Korea.

Pada jam 8 pagi, suhu di kawasan selatan negara berada di sekitar 30 C, dengan suhu di bandar pelabuhan Busan kekal pada 29.1 C, di Ulsan (28.7 C) dan di Daegu (28.4 C).

Suhu direkodkan 26.8 C di Seoul dan 26.6 C di bandar berdekatan Incheon pada jam 8 pagi.

Kawasan bandar termasuk Seoul dan kawasan pesisir mengalami malam tropika semalam dengan suhu kekal 25 C atau lebih tinggi sepanjang malam.

Menurut agensi itu, gelombang haba dijangka berterusan untuk beberapa waktu, dengan suhu harian tertinggi diramal meningkat lebih tinggi hingga 2 C pada Selasa dan Rabu.

Korea Selatan telah menyaksikan sekurang-kurangnya 12 kematian hujung minggu lepas, termasuk empat daripada mereka berusia antara 70-an hingga 90-an, meninggal dunia ketika bekerja di ladang di Wilayah Gyeongsang Utara.

Suhu panas dijangka membawa hujan lebat sehingga 80 milimeter (mm) di kebanyakan kawasan negara pada Isnin, termasuk kawasan sekitar Seoul dan Pulau Jeju.

Kawasan di bahagian tengah kemungkinan akan mengalami hujan lebat sehingga 60 mm sejam. - Bernama