Angka kematian akibat Taufan Doksuri meningkat 25 orang

Penduduk berteduh di pusat pemindahan keluarga yang terjejas akibat banjir akibat kesan taufan Doksuri di kampung San Mateo, wilayah Rizal, timur laut Manila, Filipina. - Foto EPA
Penduduk berteduh di pusat pemindahan keluarga yang terjejas akibat banjir akibat kesan taufan Doksuri di kampung San Mateo, wilayah Rizal, timur laut Manila, Filipina. - Foto EPA
A
A
A

MANILA - Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Doksuri meningkat kepada 25, dengan sekurang-kurangnya 20 lagi hilang, lapor Xinhua memetik agensi bencana nasional Filipina pada Isnin.

Banyak bahagian negara itu masih ditenggelami air ekoran hujan lebat walaupun selepas Doksuri meninggalkan Filipina minggu lepas.

Taufan Khanun, taufan keenam yang membadai Filipina tahun ini, terus meningkat pada Isnin, membawa hujan monsun barat daya di seluruh negara, termasuk Metro Manila.

Dalam laporan pada Isnin, Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) berkata, Doksuri berakhir dengan mengorbankan 20 orang di utara Filipina, tiga di wilayah berhampiran Metro Manila dan dua lagi di tengah Filipina.

Agensi itu berkata, 20 orang lagi hilang di utara Filipina.

Doksuri menjejaskan hampir 2.4 juta orang di negara Asia Tenggara itu, dengan lebih 50,000 orang yang hilang tempat tinggal masih berlindung di tempat perlindungan sementara.

Taufan itu turut merosakkan rumah, tanaman, jalan raya dan jambatan.

Filipina merupakan antara negara yang paling terdedah kepada bencana alam berikutan lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan jalur taufan Pasifik.

Secara puratanya negara kepulauan itu mengalami 20 taufan setahun. - Bernama