Johor sedia bayar sewa rumah sementara mangsa kebakaran

Mohd Fared (dua dari kiri) ketika melawat kediaman sementara mangsa kebakaran di Muar pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohd Fared (dua dari kiri) ketika melawat kediaman sementara mangsa kebakaran di Muar pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Kerajaan Negeri Johor bersedia untuk membayar sewa rumah sementara sebuah keluarga yang kehilangan kediaman mereka akibat kebakaran di Kampung Parit Mislam di sini, April lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, bayaran sewaan itu akan ditanggung Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sehingga rumah baharu keluarga itu siap dibina dalam masa terdekat di tapak asal kediaman mereka yang terbakar.

Beliau berkata buat masa ini mangsa, Mohd Kamal Rosdi, 47, bersama keluarganya tinggal di rumah saudara yang jaraknya lebih kurang 300 meter dari kediaman asal sementara rumah baharu bernilai kira-kira RM65,000 yang dilaksanakan oleh Baitulmal MAINJ dan Pejabat Daerah Muar itu siap dibina.

"Sekiranya keluarga ini kurang selesa dengan kediaman sementara yang mereka diami kini, pihak Baitulmal MAINJ bersedia membantu membayar sewa bulanan jika Mohd Kamal mahu menyewa di rumah yang lain.

"Sebelum ini, akibat salah faham dan kehendak keluarga itu sendiri, mereka tinggal sementara di dalam sebuah khemah dan ia tular setelah mendapat liputan daripada sebuah akhbar semalam," katanya ketika ditemui Bernama di kediaman sementara mangsa berkenaan di sini pada Sabtu.

Mohd Fared berkata, bantuan lain yang disalurkan kepada mangsa sebelum ini ialah bantuan awal dan bantuan Hari Raya Aidilfitri daripada Baitulmal MAINJ serta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Muar, Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Saya difahamkan juga beberapa bantuan lain turut akan disalurkan kepada keluarga mangsa dalam tempoh terdekat. Saya berharap agar keluarga ini akan dapat berhubung dengan agensi kebajikan sekiranya mereka menghadapi masalah selepas ini," katanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang Selamat Takim dilapor berkata, kerajaan negeri telah maklum akan kesusahan keluarga itu dan sudah menyalurkan bantuan, bagaimanapun mereka memilih untuk tinggal di khemah, daripada menerima tawaran penyewaan sebuah rumah yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak Baitulmal.

Selamat dilapor berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai keluarga Mohd Kamal yang dikatakan terpaksa tinggal di khemah setelah rumah mereka terbakar pada 15 April lepas. - Bernama