Terlibat rogol dan cabul, enam remaja disambung reman

Suspek tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pagi tadi.
A
A

KUALA PILAH - Tempoh reman enam lelaki yang disyaki terbabit dalam kes rogol dan cabul dua remaja berusia 15 tahun dilanjutkan lima hari lagi bermula esok sehingga 13 Mei.

Perintah reman tersebut keluarkan Hakim Nariman Badruddin di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini.

Keenam-enam suspek berbaju lokap tiba di pekarangan mahkamah di sini pada jam 9 pagi diiringi anggota polis.

Hasil siasatan awal mendapati lima suspek terlibat itu ialah penganggur manakala seorang lagi adalah seorang pelajar.

Suspek yang berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan polis selepas mangsa membuat laporan polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar dicabul, dirogol bergilir-gilir enam remaja

Dalam kejadian 30 April lalu, lebih kurang jam 8 malam, mangsa telah dijemput oleh dua lelaki menggunakan dua buah motosikal untuk pergi makan di kedai berdekatan.

Suspek membawa mangsa ke rumah sewa mereka di Kampung Sungkak, Juasseh dan apabila sampai di tempat kejadian terdapat empat lelaki yang tidak dikenali menunggu.

Suspek pertama membawa seorang mangsa ke sebuah bilik dan memeluk badan mangsa manakala suspek kedua membawa seorang lagi ke bilik berasingan lalu merogolnya.

"Setelah selesai, datang lagi empat lelaki masuk ke bilik itu dan merogol mangsa kedua secara bergilir-gilir, sebelum mereka menghantar mangsa pulang ke rumah di Paroi, Seremban.

Kes disiasat di bawah Seksyen 357B dan seorang suspek Seksyen 14(4).


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia