Kilang ais perlu dapatkan lesen KKM

Semua kilang ais yang beroperasi atau menyediakan ais bagi tujuan perniagaan, perlu mendapatkan pelesenan KKM, berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 394A (4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985. - Gambar hiasan
Semua kilang ais yang beroperasi atau menyediakan ais bagi tujuan perniagaan, perlu mendapatkan pelesenan KKM, berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 394A (4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua kilang ais yang beroperasi atau menyediakan ais bagi tujuan perniagaan, perlu mendapatkan pelesenan Kementerian Kesihatan (KKM), berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 394A (4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pengarah Kanan Keselamatan Dan Kualiti Makanan (BKKM) KKM, Norrani Eksan dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, dalam syarat dan proses mendapatkan lesen, pemeriksaan ke atas kilang akan dijalankan dan pensampelan air dan ais akan dilakukan, bagi memastikan sumber air digunakan serta ais yang dihasilkan adalah selamat.

"Kilang ais juga wajib menjalankan pemantauan sendiri sekurang-kurangnya sekali setahun. Tindakan penggantungan lesen boleh diambil, sekiranya pihak kilang gagal untuk menjalankan pemantauan sendiri,” katanya.

Norrani berkata, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), mengambil maklum isu kiub ais haram dan diragui tercemar, seperti yang dilaporkan di media baru-baru ini yang boleh mengundang risiko terhadap kesihatan.

Beliau berkata, sehingga 30 Jun tahun ini, terdapat 198 kilang ais berlesen dengan KKM di seluruh negara.

"Pada tahun lepas 155 kilang ais diperiksa dengan 17 kilang diambil tindakan penguatkuasaan termasuk sembilan yang tidak berlesen, manakala dalam tempoh Januari hingga Jun 2023, sebanyak 18 pemeriksaan kilang ais telah dijalankan dan empat kilang ais telah diambil tindakan penguatkuasaan termasuk satu yang didapati tidak berlesen,” katanya.

Noranni berkata, sepanjang 2022 sehingga Jun tahun ini, 993 sampel ais telah diambil untuk pemantauan dan 80 peratus didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, pemilik kilang ais yang beroperasi tanpa lesen daripada KKM boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. - Bernama