Radhi sekali lagi cabar Mahfuz

Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Alor Mengkudu, Md Nayan Bahari (tengah) mengumumkan Radhi Mat Din (kiri) dan Datuk Mahfuz Omar (kanan) sebagai calon bertanding di DUN Alor Mengkudu Pusat Penamaan Calon DUN di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, di sini, pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Alor Mengkudu, Md Nayan Bahari (tengah) mengumumkan Radhi Mat Din (kiri) dan Datuk Mahfuz Omar (kanan) sebagai calon bertanding di DUN Alor Mengkudu Pusat Penamaan Calon DUN di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din sekali lagi mencabar Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 12 Ogos depan.

Bagaimanapun, kali ini bekas kapten pasukan bola sepak Kedah itu menentang Mahfuz di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu.

Radhi, 58, pernah menjadi calon Pas bagi kerusi Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bagaimanapun tewas kepada Mahfuz pada 2018.

Pengumuman kedua-dua calon itu telah dibuat Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Alor Mengkudu, Md Nayan Bahari sekitar jam 10.28 pagi, pada Sabtu.

Sebelum itu, Radhi yang merupakan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tiba di Pusat Penamaan Calon DUN di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, di sini, kira-kira 9 jam pagi.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) tiba pada waktu sama di pusat penamaan calon berkenaan.

Mahfuz terlebih dahulu menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.05 pagi, manakala Radhi pada jam 9.09 pagi.

Sebelum ini, kerusi DUN Alor Mengkudu disandang Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Untuk rekod, Phahrolrazi daripada PH menang kerusi DUN Alor Mengkudu dengan mendapat 8840 undian ketika menentang Datuk Ahmad Yahya daripada parti Pas yang mendapat 6,964 undi pada 2018.

Pada PRU14, Mahfuz menang di kerusi Parlimen Pokok Sena dengan undian sebanyak 28,989 dengan majoriti 5,558 undi.

Mahfuz menewaskan Radhi yang memperoleh 23,401 undi, manakala calon BN, Datuk Said Ali Syed Rastan memperoleh 18,390 undi.