Perlu pastikan gaji minimum dilaksana sepenuhnya

Kerajaan perlu tubuhkan suruhanjaya gaji negara bagi memastikan model gaji progresif berjaya dilaksanakan dalam sistem pekerjaan Malaysia. Gambar hiasan. - Foto 123RF Gambar kecil: Kamarul Baharin
Kerajaan perlu tubuhkan suruhanjaya gaji negara bagi memastikan model gaji progresif berjaya dilaksanakan dalam sistem pekerjaan Malaysia. Gambar hiasan. - Foto 123RF Gambar kecil: Kamarul Baharin
A
A
A

SHAH ALAM - Semua kementerian perlu bersungguh-sungguh memastikan usaha mengkaji semula tahap gaji minimum di negara ini dapat dilaksanakan sepenuhnya seiring hasrat Perdana Menteri bagi mencapai perkongsian ekonomi yang lebih seimbang.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu merupakan satu visi masa depan dalam melakukan perubahan terhadap dasar pekerjaan negara.

“Perubahan dilakukan bagi membela kelompok terbanyak yang merasai kesan kenaikan kos barangan terutama pekerja bawahan dan pertengahan.

“Kita minta kerajaan dan kementerian ambil tindakan proaktif. Jangan sekadar bercakap sahaja tetapi tak buat penguatkuasaan,” katanya.

Pada Khamis, Anwar berkata, kadar upah dan gaji buruh berbanding jumlah keseluruhan pendapatan di Malaysia adalah sebanyak 32.4 peratus bagi tahun lepas.

Ujar beliau, bagi mencapai perkongsian ekonomi yang lebih seimbang, kerajaan akan melaksanakan dasar yang menyokong peningkatan upah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke tahap 45 peratus selaras dengan tahap negara lebih maju.

Dalam pada itu, ulas Kamarul Baharin, kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya gaji negara bagi memastikan model gaji progresif berjaya dilaksanakan dalam sistem pekerjaan Malaysia.

Menurutnya, suruhanjaya itu juga bertujuan memberi keutamaan pada manfaat pekerja dan majikan tanpa melibatkan sebarang kepentingan politik.