Dasar gaji progresif dibentang ke MTEN 7 Ogos

Rafizi (tengah) menunjukkan buku laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Tahun 2022 pada Majlis Pengumuman Penemuan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 di Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
Rafizi (tengah) menunjukkan buku laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Tahun 2022 pada Majlis Pengumuman Penemuan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 di Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Dasar atau model gaji progresif akan dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) 7 Ogos ini bagi mendapatkan keputusan dasar sebelum ia boleh dilaksanakan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Bercakap kepada media selepas Majlis Pengumuman Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 di sini pada Jumaat, beliau berkata, perbincangan antara kementerian terlibat sudah selesai.

"Apabila keputusan dasar telah diperoleh maka kita boleh umumkan beberapa hala tuju yang utama mengenai gaji progresif," katanya.

Rafizi berkata, antara cadangan awal yang dipertimbang ialah kertas putih mengenai kedudukan gaji rakyat dibentang di Parlimen pada September depan manakala libat urus dan perbincangan antara pihak majikan dan pekerja dimulakan.

Beliau berkata, walaupun menyedari ada kebimbangan di pihak majikan bahawa pelaksanaan dasar gaji progresif akan menyebabkan kos operasi perniagaan meningkat, kerajaan yakin perkara itu akan dapat diatasi.

"Saya yakin apabila model atau dasar gaji progresif itu kita berjaya dapat keputusannya dan diumumkan konsepnya, majikan juga akan turut gembira.

"Pekerja mahupun majikan akan menerima baik model gaji progresif yang akan kita cadangkan selepas dapat keputusan dasar,” katanya.

Sebelum ini Rafizi berkata, dasar atau model gaji progresif akan dibangunkan secara bersama membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sumber Manusia.

Sistem gaji progresif adalah peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara. - Bernama