Polis cari Mohamed Imran bantu kes kematian isteri

Mohamed Imran dicari untuk bantu siasatan berhubung kes kematian isterinya disyaki dipukul di sebuah pangsapuri di Sungai Long Kajang, Ahad lalu.
Mohamed Imran dicari untuk bantu siasatan berhubung kes kematian isterinya disyaki dipukul di sebuah pangsapuri di Sungai Long Kajang, Ahad lalu.
A
A
A

KAJANG - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kematian isterinya disyaki dipukul di sebuah pangsapuri di Sungai Long Kajang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki itu dikenali sebagai Mohamed Imran Mohamed berusia 32 tahun.

"Alamat terakhir adalah sebuah apartment di Jalan Sutera Pines, Sungai Long Kajang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Zaid berkata, pihaknya telah menerima panggilan telefon daripada jururawat sebuah hospital swasta, di sini memaklumkan telah menerima seorang pesakit wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri, pada jam 12.15 tengah malam Ahad.

"Mangsa berusia 38 tahun itu dihantar ke hospital oleh suaminya dan kemudian menghilangkan diri setelah mendapat tahu isterinya telah meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan hospital tersebut mendapati kesan cedera dan lebam di seluruh badan mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan hasilnya terdapat kesan kecederaan di keseluruhan badannya.

"Pakar Patalogi mengesahkan punca kematian akibat dipukul objek tumpul sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius," katanya.

Mohd Zaid berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan.

"Kes disiasat d ibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintenden R K Umesh di talian 012-6114900 bagi membantu siasatan," katanya