PRN: 27 calon BN Terengganu terima watikah

Seramai 27 calon BN Terengganu menerima watikah pelantikan untuk bertanding PRN disampaikan Ahmad Said di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Khamis.
Seramai 27 calon BN Terengganu menerima watikah pelantikan untuk bertanding PRN disampaikan Ahmad Said di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 27 calon Barisan Nasional (BN) menerima watikah pelantikan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 12 Ogos depan.

Kesemua penerima merupakan calon sama sebagaimana diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sempena Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sejak hampir seminggu lalu pada 21 Julai.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan berlaku tidak puas hati dalam kalangan penyokong parti terhadap calon yang diketengahkan sehingga membawa kepada penutupan markas di sesetengah tempat.

Bagaimanapun, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, perkara itu telah diselesaikan secara dalaman dan kesemua pihak telah mencapai kata sepakat untuk sebulat suara menyokong calon yang telah dimuktamadkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya harap dengan selesainya penyampaian watikah ini tidak ada lagi berlaku sebarang rasa tidak puas hati dalam kalangan sesama kita.

"Kita berikan kerjasama sebaik mungkin untuk mempertahankan parti. Jangan ada cah keting dan sebagainya," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan watikah kepada calon di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengingatkan semua calon supaya berjiwa besar dalam mendepani cabaran pada pilihan raya kali ini.

Katanya, setiap calon perlu menerima apa jua keputusan dan tidak meninggalkan parti sekiranya tewas dalam 'perjuangan'.

"Lepas kita kalah jangan tinggalkan parti, pulihkan parti dulu baru serah kepada orang lain. Jangan mudah terasa hati kerana proses itu berjalan," ujarnya.

27 calon BN Terengganu yang menerima watikah ialah Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (Kuala Besut), Datuk Mohammad Pehimi Yusof (Kota Putera), Mohd Rozaini Rasli (Jertih) dan Datuk Nawi Mohamad (Hulu Besut).

Selain itu, Rosdi Zakria menerima watikah sebagai calon bagi kerusi DUN Jabi, Hamdan Hamzah (Permaisuri), Datuk Sabri Mohd Noor (Langkap), Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit), Muhammad Hanafi Hasan (Tepuh) dan Omar Adam (Buluh Gading).

Dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menerima watikah sebagai calon bagi kerusi Seberang Takir dan Datuk Seri Ahmad Said (Kijal).

Selain itu, turut menerima watikah ialah Wan Noorislam Wan Hashim (Bukit Tunggal), Armi Irzan Mohd (Bandar), Datuk Mohd Sabri Alwi (Ladang), Yuseri Isa (Alur Limbat), Mohd Khan Abd Rahman (Bukit Payung) dan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Pengkalan Berangan).

Nama lain yang menerima watikah ialah Datuk Rozi Mamat (Telemung), Jalaludin Ismail (Kuala Berang), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Mohd Asri Mohamad (Rantau Abang), Ahmad Abdullah Abd Wahab (Paka), Mohd Khairi Afiq Mohd Yusof (Kemasik), Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin (Cukai) dan Dr Mohd Zaki Salleh (Air Putih).