Lima rakan menangis syukur terlepas hukuman gantung

Muhammad Hilmi berkerusi roda bersama dua daripada tiga rakannya yang sebelum ini berdepan dengan hukuman gantung.
Muhammad Hilmi berkerusi roda bersama dua daripada tiga rakannya yang sebelum ini berdepan dengan hukuman gantung.
A
A
A

MELAKA - Lima rakan termasuk seorang wanita menangis kegembiraan setelah Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis, melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah lima tahun lalu.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan membabitkan tertuduh Mohd Nizam Makzan, 34; Nurshahira Hamraj, 27; Hairudin Ramle, 24; Muhammad Hilmi Rosly, 33, dan Dermawan Muhammad, 38.

Keputusan itu diputuskan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang ditimbulkan terhadap kelima-lima mereka.

Mohd Radzi berkata, pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan dan empat daripada tertuduh bukan merupakan penghuni kediaman di mana barang terlarang itu dijumpai.

Ujar Mohd Radzi, rumah yang mempunyai beberapa pintu itu berkemungkinan juga boleh diakses masuk oleh sesiapa sahaja, malah tidak dapat membuktikan siapa yang meletakkan barang terlarang itu di atas meja.

"Kalau pun mereka tahu mengenai dadah tersebut tapi jika tidak ada sebarang kawalan adalah tidak mencukupi untuk dibuktikan sebagai pemilikan, jadi ini adalah kelemahan dalam siasatan.

"Oleh kerana pendakwaan gagal membuktikan pemilikan dadah, mahkamah dapati pertuduhan mengedar dan menyimpan dadah ini gagal dibuktikan dan kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan," katanya.

Nurshahira (dua,kiri) bersama peguamnya selepas keluar dari mahkamah Tinggi Melaka di sini, pada Khamis.
Nurshahira (dua,kiri) bersama peguamnya selepas keluar dari mahkamah Tinggi Melaka di sini, pada Khamis.

Dalam kes ini, kesemua tertuduh didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 166.24 gram.

Kesalahan ini memperutukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat minimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala tiga lagi pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 12(2) dan dibaca bersama Seksyen 12(3) atas kesalahan memiliki dadah jenis heroin seberat 1.44 gram, Manoacetymorphines (1.81 gram) dan ketamine (17.66 gram).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Semabok Dalam di sini, pada jam 1 pagi, 22 Mac 2018.

Seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula sejak 6 Ogos 2019.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof, manakala tertuduh masing-masing diwakili Peguam Mak Kah Keong, Tiu Leong Kim, Datuk Hanif Hassan, Azrul Zulkifli Stork, Andrew Lourdes.