Mindef bawa cadangan selesai amaun pencen ATM kepada JPA

Adly (tiga dari kanan) melihat produk usahawan Mindef pada Program Peduli dan Sembang Santai Persatuan Veteran ATM Peringkat Selangor di Pasir Penambang, di sini pada Khamis.
Adly (tiga dari kanan) melihat produk usahawan Mindef pada Program Peduli dan Sembang Santai Persatuan Veteran ATM Peringkat Selangor di Pasir Penambang, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Pertahanan (Mindef) mempunyai pilihan cadangan menyelesaikan segera perbezaan amaun pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum dan selepas 1 Januari 2013.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penelitian tentang perkara itu akan dibincangkan antara kementeriannya dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kita (Mindef) telah mengadakan beberapa sesi itu (mesyuarat) dan ada beberapa cadangan dikemukakan dengan JPA," katanya ketika ditemui pada Program Peduli dan Sembang Santai Persatuan Veteran ATM Peringkat Selangor di Pasir Penambang di sini pada Khamis.

Adly berkata, Mindef sentiasa mencari pilihan baharu supaya dapat meningkatkan lagi mutu kehidupan anggota tentera ATM pada masa depan.

"Kita akan melihat aspek-aspek ini kerana apa yang lebih penting bagi yang berpencen (selepas 2013) mereka boleh menerima bantuan sara hidup.

Jelas beliau, kementeriannya sentiasa prihatin dan memastikan golongan veteran ATM sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.

Tambah Adly, pelbagai bantuan disediakan kerajaan kepada golongan itu termasuk menyediakan bantuan sara hidup (BSH).

"Jika (pendapatan persaraan) tidak mencukupi kita boleh menambah dengan BSH sebagai menyelesaikan masalah veteran yang tiada kemampuan meneruskan kehidupan," kata beliau.

Jelas beliau, sebahagian daripada veteran ATM juga telah membawa isu amaun pencen itu ke mahkamah.

"Kita serahkan mahkamah dan sentiasa akur dengan keputusan itu," jelas beliau.

Sebelum ini JPA dalam kenyataannya memaklumkan, perbezaan amaun pencen antara veteran ATM bersara sebelum 1 Januari lalu dan yang bersara mulai tarikh sama akan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat.

JPA memaklumkan, isu itu juga dihadapi semua pesara penjawat awam daripada skim perkhidmatan lain.

Mengulas mengenai program itu, Adly berkata, beliau menyantuni enam veteran ATM di sekitar Tanjung Karang, Sabak Bernam, Sekinchan dan Kuala Selangor.

Jelas beliau, bagi meringankan beban pesara ATM, pihaknya melancarkan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) pada 13 Julai lalu.

Azly memberitahu, inisitaif itu salah satu usaha kementeriannya memartabatkan kerjaya kedua veteran ATM dalam bidang keusahawanan.

"PUVET ATM berperanan sebagai pemudah cara dan penghubung bagi menyalurkan insentif keusahawanan seperti khidmat kepakaran, fasiliti, geran dan latihan bagi memajukan perniagaan," kata beliau.