Perlu dilaksanakan secara teratur

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk membantu organisasi media tempatan mendapatkan bayaran daripada gergasi teknologi antarabangsa seperti Google dan Meta perlu dilaksanakan secara teratur bagi memenuhi keperluan hak cipta atau harta intelek.

Ketua Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, ia bukan pandangan sepintas lalu tetapi melibatkan perundangan dan memerlukan keselarasan antara pengamal media agar persetujuan bersama dapat dicapai dalam kalangan pihak berkepentingan.

“Ini termasuk dari segi tuntutan terhadap bahan yang dilindungi oleh Akta Hak Cipta menjadikan peraturan itu sah dari segi undang-undang.

“Ini sebenarnya urusan pemegang taruh atau stake holder tetapi kerajaan mempunyai mekanisme tertentu untuk merealisasikannya kerana apabila melibatkan undang-undang prosesnya berkaitan dengan penyediaan akta, ia perlu mendapat kelulusan di Parlimen.

“Pengambilan setiap bahan daripada pihak lain bagi tujuan perniagaan atau keuntungan mesti diselesaikan dengan mengikut lunas undang-undang dan penyedia kandungan juga perlu diberi hak untuk melindungi kepemilikan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Justeru, Mohamad Saleeh menegaskan agar semua pihak pengamal media membincangkan dan merangka struktur atau mekanisme pengutipan bayaran sebelum dikemukakan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).