MPL: Team Secret bakal cabar Todak

Todak muncul juara MPL musim ke-11. - Foto Facebook Todak MLBB
Todak muncul juara MPL musim ke-11. - Foto Facebook Todak MLBB
A
A
A

JUARA bertahan, Todak dan pasukan terkemuka antarabangsa, Team Secret antara 10 pasukan yang bakal menghangatkan saingan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL) musim ke-12 dijadual Ogos ini.

Edisi kali ini dijangka sengit apabila pasukan yang dinobatkan sebagai juara berpeluang mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia M5 Mobile Legends: Bang Bang 2023 di Filipina, Disember depan.

Bagaimanapun, pasukan tersebut terlebih dahulu perlu mengharungi cabaran dalam Kejohanan M5 Wild Card di sini pada November bagi memburu slot ke kejohanan e-sukan antarabangsa terkemuka itu.

Selain Todak dan Team Secret, lapan lagi pasukan yang akan berentap dalam MPL edisi ini adalah Team HAQ, Team SMG, RSG Slate MY, Red Esports, Team Lunatix, HomeBois, Red Giants Esports dan MPX NSEA.

Mengulas mengenai M5 Wild Card, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MPL, Fikri Rizal Mahruddin menyifatkan ia sebagai medan untuk sekali lagi membuktikan kemampuan Malaysia dalam menganjurkan kejohanan e-sukan antarabangsa.

"Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada beberapa kejohanan Mobile Legends: Bang Bang antarabangsa termasuk MSC 2022 dan M1, dan merupakan rumah kepada sekumpulan besar bakat yang memiliki kapasiti dan keupayaan untuk mengendalikan kejohanan bertaraf dunia.

"Kami yakin dapat memberikan pengalaman e-sukan yang hebat untuk peminat tempatan kami sekali lagi dan mengalu-alukan pemain antarabangsa dari luar negara untuk bersaing dalam M5 Wild Card," katanya dalam sidang media MPL musim ke-12 di Kuala Lumpur pada Rabu.

Liga itu bermula 18 Ogos hingga 24 Septembersebelum aksi kalah mati berlangsung dari 5 sehingga 8 Oktober, dengan lapan pasukan terbaik kekal untuk saingan musim depan.

MPL akan berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil secara percuma, malah peminat boleh membuat tempahan tempat duduk lebih awal menerusi https://www.ticket2u.com.my/. - Bernama