Meta FB didenda AS$13.5 juta kerana kelirukan pengguna

Syarikat induk Facebook, Meta didenda AUD20 juta (AS$13.5 juta) kerana mengelirukan pengguna.
Syarikat induk Facebook, Meta didenda AUD20 juta (AS$13.5 juta) kerana mengelirukan pengguna.
A
A
A
SYDNEY - Syarikat induk Facebook, Meta didenda AUD20 juta (AS$13.5 juta) kerana mengelirukan pengguna, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) pada Rabu.

Mahkamah persekutuan mengarahkan anak syarikat Meta, Facebook Israel dan Onavo Inc, masing-masing membayar AS$10 juta kepada Australia "kerana amalan mengelirukan dan melanggar Undang-undang Pengguna Australia," kata badan pemerhati pengguna itu.

Onavo Protect ialah aplikasi mudah alih percuma yang dipromosikan dalam penyenaraian Google dan Apple app Store sebagai produk yang akan memastikan data pengguna selamat dengan menyediakan perkhidmatan rangkaian peribadi maya (VPN).

"Sebaliknya, Onavo dan Facebook Israel berkongsi data aktiviti peribadi pengguna yang dikumpul oleh aplikasi dalam bentuk tanpa nama dan menggabungkannya dengan syarikat induk Meta (kemudian dikenali sebagai Facebook Inc) untuk manfaat komersial," kata ACCC dalam kenyataan akhbar.

Aplikasi itu telah dipasang lebih daripada 270,000 kali oleh pengguna Australia antara Februari 2016 dan Oktober 2017.

Pada Rabu, seorang hakim persekutuan mendapati kedua-dua anak syarikat itu terlibat dalam amalan mengelirukan orang ramai dengan gagal mendedahkan secukupnya bahawa data pengguna akan digunakan, termasuk untuk tujuan komersial Meta.

Berikutan penghakiman itu, jurucakap Meta memberitahu media Australia bahawa Onavo Protect berfungsi dengan betul sebagai alat keselamatan.

"Tiada dakwaan oleh ACCC bahawa aplikasi itu tidak berfungsi dengan baik sebagai alat keselamatan dalam talian. Melindungi privasi dan keselamatan data orang adalah asas perniagaan Meta.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah membangunkan alatan untuk memberi ketelusan dan kawalan ke atas cara data mereka digunakan dan kami mereka bentuk setiap produk dan ciri baharu dengan mengambil kira privasi," kata Meta dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh penyiar awam Australia ABC. - Bernama