Pemandu teksi rayu keprihatinan kerajaan

Pemandu teksi di Hentian Teksi Kluang, bandar Kluang terpaksa menunggu antara dua hingga tiga jam sebelum mendapat penumpang.
Pemandu teksi di Hentian Teksi Kluang, bandar Kluang terpaksa menunggu antara dua hingga tiga jam sebelum mendapat penumpang.
A
A
A

KLUANG - Pemandu teksi di sini merayu kerajaan membantu mengurangkan beban pengurusan dan penyelenggaraan kenderaan bagi membolehkan usaha mencari pendapatan menyara keluarga berjalan lancar serta tidak terjejas.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kluang, Mustakim Jalil berkata, antara perkara paling membebankan mereka adalah kos yang tinggi melibatkan penukaran tayar, membaharukan cukai jalan dan insuran.

Jelasnya, pendapatan harian pemandu teksi ketika ini yang semakin berkurangan menambah lagi tekanan mereka apabila terpaksa membuat penggantian tersebut.

"Setiap seorang pemandu teksi di Kluang ini hanya mampu meraih pendapatan tidak lebih daripada RM50 sehari selepas ditolak kos minyak kenderaan.

"Dengan duit sebanyak RM50 sehari itulah digunakan untuk menyara keluarga dan jika ada lebih pun terpaksa disimpan untuk kegunaan waktu kecemasan.

"Kami bukan minta kerajaan menanggung sepenuhnya keperluan kos menukar tayar atau membaharui cukai jalan serta insuran namun jika dapat dikurangkan sebahagian daripadanya pun sudah memadai," katanya ketika ditemui.

Mustakim berkata, rayuan itu bukan hanya daripada persatuan mereka namun mewakili keseluruhan pemandu teksi di Johor yang terkesan teruk dengan saingan e-hailing serta sindiket teksi haram.

Ujarnya, jika sebelum ini pemandu teksi dapat diberikan pelbagai bantuan oleh kerajaan walaupun hanya sekali dalam setahun namun cukup memadai kerana dapat mengurangkan kos perbelanjaan dan pengurusan kenderaan mereka.

"Kami sedar kerajaan ketika ini berhadapan dengan kekangan kewangan namun sebagai sebuah kerajaan yang perihatin dengan masalah rakyat perkara berkaitan kebajikan pemandu teksi juga perlu diambil kira," katanya.