'Datuk' ditahan SPRM kes AMLA lebih RM500 juta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan berstatus 'Datuk’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dengan dana meragukan bernilai lebih RM500 juta.

Menurut sumber, individu berusia 42 tahun itu ditahan selepas dipanggil pihak SPRM bagi membantu siasatan pada Selasa.

Katanya, individu bergelar Datuk itu disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Ahli perniagaan itu ditahan bersama dua lagi individu awal pagi ini sebaik sahaja dipanggil oleh SPRM.

"Difahamkan setakat ini, mereka disiasat membabitkan dana meragukan bernilai lebih RM500 juta," katanya pada Selasa.

Tambahnya, suspek turut dikenakan perintah reman oleh Mahkamah Shah Alam, dekat sini.

Sumber berkata, ahli perniagaan itu dipercayai terlibat dalam perniagaan pengurusan acara.

Selain itu katanya, Datuk tersebut turut terkenal dengan aktiviti membawa masuk artis asing bagi melakukan persembahan di dalam negara.

Sinar Harian cuba mendapatkan pengesahan SPRM berhubung penahanan Datuk tersebut, namun pihak terlibat gagal dihubungi.