PRN: DAP cadang Weng San Speaker DUN Selangor

Lau Weng San
Lau Weng San
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] DAP mencadangkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara tersebut merupakan syarat yang telah ditetapkan susulan DAP telah menyerahkan DUN Dusun Tua kepada BN.

Jelasnya, perkara tersebut juga telah dipersetujui oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“DAP cadangkan Lau Weng San sebagai Speaker DUN Selangor sekiranya PH -BN menang.

“Kita serahkan Dusun Tua (kepada BN), dan kita cadangkan seorang bukan ADUN untuk jadi Speaker. Itu syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pengumuman Calon DAP bagi PRN Selangor di Ibu Pejabat DAP di sini pada Isnin.

Pada Jumaat, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu hanya bertanding di 12 kerusi DUN Selangor termasuk Dusun Tua bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos depan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Dusun Tua telah dimenangi oleh Edry Faizal Eddy Yusof dari DAP memperoleh majoriti undi sebanyak 10,422 ketika menentang Mohd Zin (BN) dan Razaly Hassan (Pas).

Susulan itu, DAP mengakui sedikit terkilan terhadap keputusan tersebut bagaimanapun pihaknya perlu akur kerana ia telah dimuktamadkan.

Selain itu, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan turut mengumumkan bekas ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dicadangkan sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang.

Ia susulan Hian Wah telah digugurkan dari dicalonkan untuk bertanding pada PRN dan digantikan oleh Wong Siew Ki.