Utamakan selenggara perkhidmatan asas

Jalan raya perlu diselenggara dengan sempurna termasuk memastikan 'garisan putih' tidak pudar warnanya bagi keselamatan pengguna kenderaan - Gambar hiasan
Jalan raya perlu diselenggara dengan sempurna termasuk memastikan 'garisan putih' tidak pudar warnanya bagi keselamatan pengguna kenderaan - Gambar hiasan
A
A
A

SATU masalah serius yang berleluasa di Malaysia adalah kekurangan penyaluran dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan perkhidmatan asas di peringkat kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan.

Ini mungkin ekoran pemberian gaji yang rendah, kekurangan pekerja serta peralatan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dan ketiadaan pemeriksaan rutin.

Akibatnya, terdapat masalah yang serius dan konsisten dalam perkhidmatan asas harian yang tidak ditangani sehingga menimbulkan risiko keselamatan terhadap rakyat.

Masalah-masalah berkenaan termasuklah lampu-lampu jalan yang tidak berfungsi, kerosakan sistem elektrik, penjagaan buruk terhadap bangunan serta harta awam, kurang pembersihan jalan secara rutin, ketiadaan pembersihan serta pemantauan terhadap tapak-tapak pembuangan sampah yang haram dan sebagainya.

Sesetengah isu ini perlu diselesaikan secepat mungkin kerana ia mengancam keselamatan dan kesihatan orang awam. Malangnya, pihak berkuasa hanya mengambil tindakan dalam tempoh yang agak lama atau selepas menerima banyak aduan berulang kali daripada orang awam.

Ini memberikan pandangan negatif terhadap perkhidmatan kerajaan khususnya jika terjadinya kemalangan akibat masalah yang ditimbulkan oleh perkhidmatan asas tersebut.

Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh kerajaan di semua peringkat untuk membolehkan peruntukan dana yang mencukupi terhadap kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan perkhidmatan asas yang konsisten di seluruh negara seperti:

1. Membanteras korupsi

Pihak kerajaan mesti bertindak dengan tegas dan serta-merta dalam pembanterasan amalan korupsi, seperti naungan, rent-seeking, kronisme, nepotisme dan amalan tidak bermoral lain yang sudah terlalu lama membelenggu negara dan telah merompak dana kerajaan dalam jumlah yang amat besar.

Satu langkah penting yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan suatu sistem semak dan imbang yang ketat bersama dengan institusi-institusi pemantauan bebas di setiap negeri terhadap pemberian kontrak oleh kerajaan tempatan kepada syarikat swasta dan anak syarikat kerajaan negeri sendiri.

Bagi setiap negeri, proses pengauditan sebagai sebahagian daripada sistem semak dan imbang ini, mesti dikendalikan oleh suatu jawatankuasa yang bebas daripada campur tangan Menteri Besar atau Ketua Menteri serta cabang eksekutif kerajaan negeri berkaitan.

Hal ini untuk memastikan bahawa pemberian kontrak kepada syarikat-syarikat tidak terkait dengan amalan kronisme atau korupsi.

Ia juga untuk memastikan bahawa perkhidmatan asas yang dijalankan oleh syarikat-syarikat tersebut adalah berkualiti tinggi dan pembayar cukai mendapat nilai baik untuk wang mereka.

Melalui langkah ini, kerajaan-kerajaan tempatan mahupun kerajaan negeri akan mempunyai lebih banyak dana yang kemudiannya dapat diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan perkhidmatan asas.

2. Utama kerja penyelenggaraan, penambaikan secara konsisten

Secara amnya, dana kerajaan perlu diutamakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan perkhidmatan asas dan dilakukan secara konsisten di seluruh negara.

Perhatian juga perlu diberikan untuk meningkat gaji pekerja sektor penyelenggaraan dan menggunakan dana bagi membeli semua peralatan yang diperlukan dalam kerja penyelenggaraan. yang diperlukan yang mencukupi.

Ini seterusnya akan membolehkan kerajaan-kerajaan negeri serta tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan serta pemeriksaan rutin dengan berkesan terhadap perkhidmatan asas di kawasan masing-masing.

Sebagai kerajaan yang prihatin, mereka perlu mengambil langkah seperti yang dinyatakan di atas untuk memastikan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan perkhidmatan asas untuk rakyat tetap diberi keutamaan.

*JV, Aktivis sosial, Ipoh, Perak