Town Hall Rakyat bersama Amirudin Shari

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Jika pada lima edisi Town Hall Rakyat sebelum ini menampilkan menteri-menteri kabinet, kali ini Sinar Harian mengetengahkan calon Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, town hall yang akan berlangsung pada Isnin itu akan memberi kelainan sempena pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Sempena PRN, kami memberi kelainan dengan menampilkan calon menteri besar terhangat di pasaran. Selangor menjadi salah satu negeri yang dianggap medan bertempur paling sengit dan sudah tentunya fokus tumpuan di Selangor terarah kepada beliau (Amirudin).

“Apatah lagi beliau telah diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Tua dan jika PH menang di Selangor, akan sekali lagi diangkat sebagai menteri besar,” katanya pada Ahad.

Zamri
Zamri

Menurut Zamri, meskipun beberapa kaji selidik firma penyelidikan mendapati PH dan Amirudin mempunyai kelebihan serta mendapat sokongan pengundi Melayu, tetapi ada juga melihat Perikatan Nasional (PN) akan memberikan cabaran sengit.

Lantaran itu, katanya, Town Hall Rakyat kali ini buat pertama kali memberi platform kepada calon PRN paling disebut-sebut ramai itu.

“Sinar Harian amat berharap warga Selangor merentas parti untuk hadir beramai-ramai di Komplek Karangkraf Shah Alam untuk bersama-sama calon Menteri Besar Selangor PH.

“Dengan konsep yang berbeza daripada pentas ceramah PRN, Town Hall Rakyat memberi peluang mengutarakan soalan berkaitan isu dan permasalahan mereka untuk dijawab oleh menteri besar itu,” ujarnya.

Sebagai makluman, sesi Town Hall Rakyat sebelum ini telah menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menariknya, Town Hall Rakyat akan dihoskan pelakon popular, Azhar Sulaiman dan boleh disaksikan secara langsung di www.sinarharian.com.my dan semua platform media sosial Sinar Harian.