Bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan sertai DAP

Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying (tiga, kanan) menerima borang keahlian DAP daripada Mohd Zulkifli (dua, kiri). - Foto Bernama
Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying (tiga, kanan) menerima borang keahlian DAP daripada Mohd Zulkifli (dua, kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria menyertai DAP selepas menyerahkan borang keahliannya kepada wakil parti berkenaan malam tadi.

Turut menyertai beliau ialah 12 orang penaja cawangan DAP yang akan diwujudkan di Bachok dalam tempoh waktu terdekat.

Mohd Zulkifli berkata, ketika ini sudah ada dua cawangan DAP dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama di Parlimen Bachok, dan banyak lagi cawangan akan diwujudkan di dalam kawasan DUN Jelawat serta Tawang, yang juga berada dalam kawasan Parlimen Bachok.

"Kita juga akan turun membantu jentera DAP, Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keahliannya itu kepada Pengerusi DAP negeri, Datuk Azaha Abdul Rani.

Turut hadir, Setiausaha DAP, Pulau Pinang Lim Hui Ying.

Sebelum ini semua jawatan yang disandang Mohd Zulkifli dalam Bersatu gugur secara automatik selepas beliau bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tahun lepas.

Sementara itu, Azaha berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi agar calon dari parti itu diberi peluang bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi merebut kerusi DUN Kota Lama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan bulan depan.

Beliau berkata, DUN Kota Lama memiliki kira-kira 38 peratus pengundi bukan Melayu, justeru pimpinan parti di peringkat negeri melihat mereka mempunyai harapan cerah untuk membuat kejutan pada pilihan raya nanti.

Bercakap kepada media selepas majlis ramah tamah pimpinan DAP Kelantan bersama ahli parti di sini malam tadi, beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tetap patuh kepada sebarang keputusan pimpinan parti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon Pas, Datuk Anuar Tan Abdullah memenangi kerusi DUN Kota Lama buat kali keempat dengan majoriti 1,445 undi, menewaskan empat calon lain termasuk dari PKR dan Barisan Nasional (BN).

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dan Pengerusi PH ketika mengumumkan senarai calon PKR yang akan bertanding pada PRN di enam negeri, tidak membuat sebarang pengumuman mengenai DUN Kota Lama, kerana menurutnya PKR dan Amanah masih perlu berbincang mengenainya.

PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon pada 29 Julai. - Bernama