Daging Rahmah RM27 sekilogram bagi daging lembu segar - KPDN

KPDN memperkenal jualan daging Rahmah dengan harga RM27 bagi setiap kilogram daging lembu tempatan menerusi Jualan Rahmah serta Jualan Rahmah Bergerak. - Gambar hiasan
KPDN memperkenal jualan daging Rahmah dengan harga RM27 bagi setiap kilogram daging lembu tempatan menerusi Jualan Rahmah serta Jualan Rahmah Bergerak. - Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenal jualan daging Rahmah dengan harga RM27 bagi setiap kilogram daging lembu tempatan menerusi Jualan Rahmah serta Jualan Rahmah Bergerak.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, buat permulaan, pelaksanaan jualan daging Rahmah yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran itu dijalankan di tiga negeri di utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Menerusi harga daging tempatan Rahmah itu, rakyat dapat membeli atau menikmati daging segar dengan lebih murah berbanding pasaran iaitu RM38 hingga RM41 biasanya, tawaran harga RM27 itu adalah kolaborasi antara pihak KPDN dengan sebuah syarikat ternakan iaitu Kaisar Farm.

"Kaisar Farm ini menternak lembu tempatan di ladang mereka di Chuping, Perlis dan mereka menawarkan diskaun 15 peratus manakala pihak kerajaan menerusi KPDN pula memberikan subsidi tambahan 15 peratus lagi, jadi kita boleh jual dengan harga RM27 bagi setiap kilogram daging segar tempatan dan bukan sejuk beku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Jualan Rahmah Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk memperluas jualan daging Rahmah di seluruh Semenanjung bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati daging segar pada harga yang murah.

"Kita tengah berbincang dengan syarikat ternakan itu bagi perluaskan jualan daging Rahmah itu, ini adalah situasi menang-menang antara syarikat dan juga pembeli iaitu orang ramai, kami berjaya salurkan lebih banyak subsidi terus kepada rakyat menerusi jualan Rahmah kerana ia terus kepada pembeli tanpa melalui orang tengah," katanya.

Fuziah juga berkata, Jualan Rahmah telah dilaksanakan di 106 lokasi dari bulan Januari hingga Julai ini di Pulau Pinang yang membabitkan rekod jualan sebanyak RM4.038 juta.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, jumlah keseluruhan pengunjung ialah 131,900 orang membabitkan 13 kawasan Parlimen dan 40 Dewan Undangan Negeri yang memberi manfaat serta kesan positif dalam usaha meringankan kos sara hidup masyarakat Malaysia Madani.

"Bagi Jualan Rahmah Bergerak pula, kelebihan pelaksanaan ini lebih kepada mobilisasi dengan konsep kedai cari rakyat dan mampu dilaksanakan di tempat berbeza pada hari yang sama... program itu dilaksanakan di 233 lokasi di seluruh negara dan 57 lokasi di Pulau Pinang, " katanya

Kedua-dua Jualan Rahmah menawarkan barang keperluan seperti telur, minyak masak, tepung, gula, bawang dan beras dengan harga ditawarkan adalah 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran. - Bernama