Pemasangan papan iklan 'Malaysia Madani' satu pembaziran - Gerakan

Andrew (kiri) menunjukkan salah satu papan iklan 'Malaysia Madani' yang sudah senget di kawasan Bukit Jambul.
Andrew (kiri) menunjukkan salah satu papan iklan 'Malaysia Madani' yang sudah senget di kawasan Bukit Jambul.
A
A
A

BAYAN BARU - Kerajaan Perpaduan diminta supaya tidak membazirkan wang semata-mata untuk memasang papan iklan yang tertera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tulisan 'Malaysia Madani' di seluruh negeri ini.

Ketua Pasukan Media Sosial Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi Ghee Oon berkata, pemantauan pihaknya mendapati, terdapat 19 papan iklan dipasang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak.

Andrew berkata, beliau difahamkan bahawa setiap papan iklan tersebut bernilai kira-kira RM2,000 dan ia pastinya satu pembaziran yang tidak wajar dilakukan.

"Hasil pemantauan pihak kami, papan iklan Malaysia Madani ini dipasang hampir di seluruh negeri ini. Ini merupakan satu pembaziran tambahan pula Anwar pernah mengarahkan supaya tiada lagi pemasangan papan iklan 'Malaysia Madani' yang baharu selepas ini.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya. Bayangkan berapa nilai yang dihabiskan sekiranya jika benar harga untuk satu papan iklan dalam lingkungan RM2,000. Lebih baik wang yang dibazirkan itu digunakan untuk membantu rakyat," katanya pada sidang akhbar di Bukit Jambul di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Anwar mengarahkan supaya tiada lagi pemasangan papan iklan 'Malaysia Madani' yang baharu selepas ini kerana ia tidak menunjukkan pendirian sebagai sebuah Kerajaan Madani.

Katanya, beliau tidak mahu dana kerajaan digunakan untuk membuat papan iklan yang besar seperti itu.

Dalam pada itu, Andrew turut mempersoalkan tentang kelulusan pemasangan papan iklan tersebut di seluruh negeri ini.

"Kami mahu tahu adakah pemasangan ini mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri dan pihak mana yang pasang papan iklan ini? Selain itu, jika dilihat lokasi pemasangan papan iklan ini, ia dipasang di lokasi strategik sebelum hari penamaan calon.

Kualiti papan iklan 'Malaysia Madani' yang disifatkan tidak kukuh dan membahayakan pengguna jalan raya.
Kualiti papan iklan 'Malaysia Madani' yang disifatkan tidak kukuh dan membahayakan pengguna jalan raya.

"Ini membuatkan pihak pembangkang kekurangan lokasi strategik untuk memasang papan iklan atau kain rentang selepas hari penamaan calon nanti. Jika papan iklan ini bertujuan untuk kempen pilihan raya negeri nanti, maka ini semestinya satu kesalahan.

"Ini kerana, ia tidak sepatutnya dipamerkan sebelum penamaan calon yang akan diadakan pada 29 Julai ini. Ia satu pelanggaran peraturan pilihan raya," katanya.

Tambah beliau, sekiranya pemasangan papan iklan itu dilakukan tanpa persetujuan Anwar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu mengambil tindakan segera untuk menurunkannya.

"Persoalannya, adakah Anwar tahu tentang perkara ini? Jika tidak, MBPP perlu menurunkan papan tanda ini. Kita juga akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai perkara ini nanti," katanya.

Dalam pada itu, Andrew juga mempersoalkan kualiti papan iklan tersebut kerana didapati pemasangannya tidak kukuh.

"Jika kita lihat, banyak papan tanda ini tidak kukuh dan sudah banyak yang senget. Ia amat berbahaya terutama kepada pengguna jalan raya.

"Jika ditiup angin, kayu dan batang besi pada papan tanda itu akan berterbangan. Ia berpotensi untuk mencederakan pengguna jalan raya," katanya.