Salahuddin selamat jalani pembedahan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengalami pendarahan otak, selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pagi ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pengawal pengiring Salahuddin bahawa Timbalan Presiden Amanah itu telah dikeluarkan dari dewan bedah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan seterusnya.

"Menteri telah selamat menjalani pembedahan pagi tadi. Beliau dimasukkan ke bilik pembedahan sekitar jam 3.30 pagi dari wad kecemasan.

"Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berlangsung, tapi saya dimaklumkan pembedahan berjaya oleh pengawal pengiring beliau sekitar jam 8 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mahfuz berkata, Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB, kira-kira jam 10 malam tadi selepas mengadu berasa tidak sihat ketika berada di hotel penginapannya di sini.

"Beliau sepatutnya menghadiri program ceramah dengan saya, tapi tidak hadir selepas berasa tidak sihat dan kemudian dikejarkan ke wad kecemasan. Program beliau juga agak padat semalam, mungkin beliau juga keletihan," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan Menteri berkenaan dikejarkan ke wad kecemasan kira-kira jam 10.15 malam tadi dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah.

Ahli Parlimen Pulai itu kemudian disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Semalam, Salahuddin menghadiri beberapa program di negeri ini antaranya Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar serta Majlis Perasmian Jelajah Jualan Rahmah Kedah dan Jelajah Townhall bersama Mahasiswa Universiti Utara Malaysia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Salahuddin dikejarkan ke hospital selepas mual, muntah-muntah

Salahuddin alami pendarahan otak, sedang jalani pembedahan

Fadillah, Nanta doakan Salahuddin diberi kesembuhan