Kerajaan perlu gandakan usaha perkasa ATM - Agong

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2023 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

 - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2023 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk terus memperkasa dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Al-Sultan Abdullah selaku Pemerintah Tertinggi ATM bertitah, usaha itu perlu berikutan dunia sedang menyaksikan pertembungan antara kuasa-kuasa besar tradisional dengan kemunculan kuasa-kuasa baharu.

"Semua ini menuntut kepada pembentukan ATM yang credible (boleh dipercayai), berteknologi tinggi dan berupaya untuk diadaptasi bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM tahun 2023 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat pada istiadat hari ini ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan Seri Paduka diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah kerajaan wajar memberikan tumpuan dalam menjaga aspek kebajikan dan kesejahteraan warga ATM serta keluarga mereka.

Seri Paduka menyambut baik dan menghargai hasrat murni kerajaan untuk membina serta menaik taraf kediaman dan prasarana untuk kemudahan warga ATM yang sinonim dengan ungkapan ‘Rumahku, Syurgaku’.

Yang di-Pertuan Agong bertitah nasib para veteran ATM perlu terus dilindungi dan diberikan pembelaan sewajarnya.

"Keringat yang mengalir dan darah pengorbanan yang tumpah dari para veteran ATM hendaklah sentiasa dikenang serta disanjung negara,” titah Seri Paduka.

Dalam masa sama, Seri Paduka bertitah keamanan yang dikecapi selama ini adalah hasil daripada perjuangan perwira dan srikandi ATM yang telah meninggal dunia.

"Marilah, kita berdoa semoga ALLAH SWT menghamparkan buat mereka (anggota ATM) dengan syurga Illiyin dan para keluarga mereka dikurniakan kesejahteraan di dunia dan di akhirat,” titah Seri Paduka.

Pada istiadat itu, Seri Paduka berkenan menyampaikan watikah pentauliahan kepada 228 pegawai kadet ATM yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). - Bernama