Alamanda Putrajaya bakal berwajah baharu

Transformasi dilakukan bakal mengangkat Alamanda sebagai hab komuniti yang lebih meriah dan menjadi pilihan pengunjung.
Transformasi dilakukan bakal mengangkat Alamanda sebagai hab komuniti yang lebih meriah dan menjadi pilihan pengunjung.
A
A
A

SELEPAS hampir 20 tahun beroperasi, Pusat Beli-Belah Alamanda bakal berwajah baharu menerusi pengubahsuaian secara besar-besaran yang bermula tahun ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, ia merupakan pembaharuan terbesar untuk pusat beli-belah itu sejak pembukaannya pada 2004.

Menurutnya, proses pembangunan telah bermula pada 20 Jun lalu dan bakal dilancarkan pada suku keempat tahun 2024.

“Pengubahsuaian ini merupakan projek pembangunan terbesar yang dilancarkan oleh pemilik premis, Putrajaya Holdings Sdn Bhd pada tahun ini dan akan membawakan kepelbagaian rangkaian butik serta rakan niaga bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sejajar dengan usaha penambahbaikan itu, Alamanda juga menampilkan pelbagai tawaran hiburan yang menarik untuk setiap lapisan umur.

Katanya, antara pembaharuan yang bakal diperkenalkan ialah pawagam mesra keluarga dan pusat boling serba baharu selain taman pengembaraan yang menjanjikan pengalaman sukar dilupakan.

“Projek pembangunan semula ini juga akan membawakan pembaharuan landskap dari sudut reka bentuk dan penggunaan.

"Ia akan diserikan dengan tumbuhan hijau dengan kemudahan ruang santai dan rehat yang menjadikan kawasan luar Pusat Beli-Belah Alamanda lebih bermanfaat,” katanya.

Andrew berkata, Alamanda juga akan menambah baik blok-blok parkir bagi melancarkan lagi aliran trafik yang mengambil kira peningkatan kehadiran pelanggan.

“Alamanda sentiasa menjadi suatu tempat yang bukan hanya dilihat sebagai pusat beli-belah. Ia juga merupakan tempat di mana keluarga, sahabat handai dan seluruh komuniti berkumpul untuk meluangkan masa bersama,” katanya.

Menurutnya, transformasi itu bakal mengangkat Alamanda sebagai hab komuniti yang lebih meriah dan menjadi pilihan pengunjung.