Pelajari pengalaman Vietnam, kembalikan Malaysia negara hebat - PM

Anwar ketika sidang media bersama wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Anwar ketika sidang media bersama wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

HANOI - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia boleh mempelajari pengalaman Vietnam yang mampu membangun dan bangkit semula selepas hampir musnah, kesan penjajahan Perancis serta campur tangan Amerika di negara itu.

Anwar berkata, kesan daripada kemusnahan itu, ramai rakyat Vietnam terpaksa melarikan diri termasuk ke Malaysia disebabkan kekacauan di negara asal ketika itu yang bukan sahaja tidak selamat tetapi ekonominya turut terjejas teruk.

"Penderitaan rakyat Vietnam (ketika zaman kekacauan) sebagaimana kita tahu, di Malaysia ramai yang kenal orang pelarian, orang yang diusir dan terpaksa lari kerana masalah ekonomi dan perubahan yang mengejutkan.

"Tetapi seperti mana kita tahu, dia (Vietnam) boleh meningkat maju sebagai kekuatan (kuasa) ekonomi yang menakjubkan dan di antara negara membangun yang paling berjaya di dunia.

"Ini pertamanya kerana, kesatuan yang dahulunya pecah kepada Vietnam Utara dan Selatan yang menjadi satu, dan fokus rakyat negara itu ialah kesatuan dan perpaduan dengan matlamat yang jelas membangunkan negara dan membela nasib rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar bersama media Malaysia sebelum berlepas pulang ke ibu negara selepas lawatan rasmi dua hari ke Vietnam.

Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Hanoi petang semalam untuk lawatan rasmi itu atas jemputan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.

Anwar berkata, kalau pada tahun 1990-an, Vietnam banyak bergantung dan belajar dari Malaysia yang berkembang maju terutama dalam sektor kewangan dan perbankan namun kini Vietnam sudah mendahului Malaysia dalam beberapa sektor.

"Tetapi kerana Vietnam bersatu, mereka tumpu kepada ekonomi dan saudara juga tahu ada beberapa tindakan tegas (ketegasan) soal tata kelola dan antirasuah.

Ini maknanya tata kelola itu diutamakan, membersihkan negara daripada pengaruh-pengaruh yang boleh melemahkan, sendi negara itu," katanya.

Terdahulu, ketika menyentuh isu yang sama semasa menghadiri Majlis Ramah Mesrah bersama rakyat Malaysia di sini Anwar berkata, langkah Vietnam yang bersikap tegas terhadap amalan rasuah dan mengutamakan kesatuan negara demi rakyat adalah selari dengan konsep Madani di Malaysia.

"Kerajaan Perpaduan dengan konsep Madani mahu mengembalikan tumpuan atau dasar kita kepada idea dan impian nenek moyang kita, bahawa Malaysia mesti demokratik, menghormati undang-undang dan mempertahankan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan termasuk isu bahasa, isu Islam dan kesucian Raja-Raja Melayu," katanya.

Perdana Menteri berkata, Perlembagaan Persekutuan menghormati dan mengiktiraf hak semua rakyat dan memberikan setiap orang peluang yang adil tanpa diskriminasi, supaya rakyat boleh hidup dengan aman dan sejahtera.

Justeru, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya akan bertindak tegas terhadap rasuah, perkauman dan mereka yang menggunakan agama dan ekstremisme.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia juga boleh belajar daripada Vietnam mengenai dasar pelaburan jelas di negara itu bagi menggalakkan kemasukan pelaburan asing.- Bernama