Bantuan PKKP jamin kebajikan pesara

A
A
A

MOHD SHAIFUL
MOHD SHAIFUL

PUTRAJAYA - Bantuan khas Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) dilaksana sebagai inisiatif mengharmonikan keperluan kerajaan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan penyelarasan pencen dua peratus kepada golongan tersebut.

Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim menjelaskan, kerajaan akur dengan keputusan mahkamah. Walau bagaimanapun, bagi menjaga kebajikan pesara kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan dibayar dengan mengguna pakai amaun pencen asal dan ditambah dengan bantuan khas PKKP bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023.

“PKKP merupakan pembayaran perbezaan amaun pencen semasa dengan pencen asal untuk menjadikan amaun yang diterima pesara setiap bulan sama seperti amaun pencen semasa. “Menerusi pelaksanaan inisiatif PKKP ini, pembayaran pencen dan pencen terbitan yang diterima pesara tidak akan berkurangan,” jelas Mohd Shaiful ketika sidang akhbar di JPA pada Khamis.

Amaun pencen asal adalah berdasarkan tafsiran iaitu bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun pencen pada Disember 2012; manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun pencen asal semasa bersara.

Mohd Shaiful ketika mengadakan sidang akhbar di JPA pada Khamis.
Mohd Shaiful ketika mengadakan sidang akhbar di JPA pada Khamis.

“Sekiranya amaun pencen asal pesara pada Disember 2012 adalah sebanyak RM1,413.49, namun dengan PKKP sebanyak RM343.94 pesara berkenaan akan menerima RM1,757.43, iaitu jumlah sama yang diterima pada Jun 2023,” katanya.

Pada 27 Jun lalu media melaporkan, Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur mengisytiharkan pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013 adalah terbatal dan tidak sah ekoran melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan tidak boleh mengutip balik penyelarasan pencen tahunan sebanyak dua peratus yang telah dibayar sebelum ini.

“Bagi penyelarasan pencen yang seterusnya, kajian akan dilaksanakan bersekali dengan cadangan semakan semula sistem saraan perkhidmatan awam bersama dengan Kementerian Kewangan untuk melihat kesan kepada pesara. Kali terakhir penyelarasan gaji dibuat adalah pada tahun 2012 iaitu maksimum sebanyak 13 peratus,” katanya.

Sebagai rekod, bilangan pesara perkhidmatan awam sehingga 31 Disember 2022 adalah seramai 874,842 orang dengan purata antara 30,000 hingga 35,000 pesara setahun.